Latest News

Wednesday, 22 February 2017

Tun M: Dulu Harimau, sekarang 'Kucing Asia'


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa kesal apabila Malaysia didakwanya telah hilang status sebagai "Harimau Asia" berikutan prestasi ekonomi yang mengagumkan suatu masa dahulu.

"Pada suatu masa dahulu Malaysia telah dipanggil Harimau Asia. Hari ini Malaysia tidak lebih seperti seekor kucing," tulis Mahathir dalam blognya hari ini.

"(Sebaliknya) kita telah menjadi salah satu daripada sepuluh negara yang paling korup di dunia," katanya.

Beliau kemudian secara sinis mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana "pencapaian" tersebut.

Mahathir berkata demikian berikutan kemungkinan pegangan dalam pengeluar kereta nasional, Proton Holdings akan dijual kepada sebuah syarikat asing.

Zhejiang Geely Holding Group Co dari China adalah antara syarikat yang dikhabarkan berminat terhadap kepentingan 51 peratus dalam Proton.

Proton adalah idea Mahathir dan ditubuhkan pada tahun 1983.

Selepas Mahathir dilantik sebagai perdana menteri pada 1983, Malaysia mengalami ledakan ekonomi pada tahun 1980-an dan awal 1990-an apabila ia digambarkan sebagai 'Harimau Asia'.

Bagaimanapun, Malaysia terjejas teruk oleh krisis kewangan Asia pada tahun 1997 sebelum kembali pulih.

Mahathir meletakkan jawatan pada tahun 2003.

Mahathir, yang kini bersama pembangkang, mendakwa Najib melakukan rasuah dengan berbilion ringgit dimasukkan ke akaun bank peribadinya.

Najib bagaimanapun menafikan wang itu daripada 1MDB dan mendakwa ia adalah "derma" daripada ahli keluarga diraja Arab Saudi.

Beliau menafikan salah laku atau mengambil wang rakyat untuk kepentingan peribadi.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Tun M: Dulu Harimau, sekarang 'Kucing Asia' Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top