Latest News

Tuesday, 7 February 2017

Pas Kedah Menolak Kerjasama Umno


PAS Kedah menolak hasrat Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah untuk menjalin kerjasama dengan PAS, kerana melihat ianya dibayangi kelicikan muslihat politik Umno.

PAS ingin menyarankan kepada Umno/BN yang menunjangi kerajaan Kedah hari ini supaya memberi perhatian penuh kepada kebajikan rakyat akibat daripada polisi-polisi mereka yang membebankan rakyat seperti rasionalisasi harga petrol dan diesel, sistem percukaian GST serta kegagalan mengawal harga barangan keperluan harian. Kerajaan negeri juga belum dapat menamatkan kegusaran rakyat berhubung masalah bekalan air bersih, ancaman perjanjian dengan operator air yang berat sebelah serta kerisauan terhadap tanah bersejarah dan "green belt" dalam bandar yang mahu dikomersialkan. Hal tersebut sewajarnya yang perlu jadi keutamaan kerajaan berbanding percaturan politik kepartian.

PAS juga melihat kenyataan Pengerusi Umno Kedah itu sebagai usaha untuk mengalih perhatian daripada membincangkan soal agihan RM30 juta bagi kawasan parlimen dimenangi Umno/BN. Ahli-ahli Umno akar umbi mula bertanya ke manakah peruntukan itu disalurkan dan bagaimana dibelanjakan? Sehingga kini jumlah yang terlalu besar itu belum terjelma dalam bentuk pembangunan atau kebajikan rakyat.

PAS sedang memberi fokus mengangkat suara rakyat Kedah, di samping menyelami permasalahan yang dihadapi mereka saban hari melalui setiap ruang dan peluang yang ada. Bagi kami, sebarang percaturan politik kepartian mestilah meletakkan keutamaan "Islam yang memimpin".

Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi
Pesuruhjaya PAS Kedah
Bertarikh: 7 Februari 2017 - HARAKAHDAILY
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Pas Kedah Menolak Kerjasama Umno Rating: 5 Reviewed By: McTheory
Scroll to Top