Latest News

Tuesday, 7 February 2017

PAS, 1+1 tak semestinya 2


Saya merujuk kepada satu laporan yang memetik ulasan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkenaan kajian INVOKE Centre for Policy Initiatives (I-CPI).

Menurut Tuan Ibrahim kajian itu mengesahkan PAS adalah parti teras pengundi Melayu kerana berjaya mendapat 25 peratus sokongan pengundi Melayu, berbanding 21 peratus oleh gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Sementara angka itu benar, ulasan Tuan Ibrahim tidak menterjemahkannya dalam konteks yang bermakna kepada sebarang usaha menewaskan BN dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Sokongan 25 peratus daripada pengundi Melayu kepada PAS adalah angka purata di peringkat nasional.

Untuk memastikan kaji selidik adalah tepat, pengundi yang ditelefon mestilah dipilih secara rawak. Proses pemilihan sampel pengundi secara rawak ini dibuat oleh perisian komputer yang memastikan responden mewakili pengundi Malaysia dari segi pecahan demografi.

Maka, sedang sokongan 25 peratus itu adalah angka purata di peringkat nasional, tahap sokongan PAS adalah berbeza mengikut negeri dan kawasan parlimen.

Contohnya, undi Melayu kepada PAS di Selangor dan Wilayah Persekutuan adalah jauh di belakang BN dan HARAPAN serta BERSATU, iaitu hanya 19 peratus.

Di Kelantan dan Terengganu pula, undi Melayu kepada PAS adalah lebih kuat pada paras 27 peratus dan mengatasi HARAPAN bersama BERSATU.

Masalahnya, majoriti kerusi parlimen di semenanjung (yang cuba ditandingi PAS) adalah kerusi yang ada pengundi bukan Melayu.

Dengan undi Melayu pada sekitar 18 peratus ke 20 peratus saja (sama ada di tempat ketiga di belakang HARAPAN dan BERSATU atau di tempat kedua) di negeri-negeri yang ada banyak pengundi bukan Melayu di Pantai Barat, PAS akan kalah semua kerusi parlimen yang mereka tandingi secara bersendirian.

Malah, di Kelantan dan Terengganu pun, pada kadar sokongan pengundi Melayu hanya 27 peratus dalam pertandingan tiga penjuru berbanding Umno/BN yang mendapat 43 peratus, PAS juga akan kalah semua kerusi parlimen dan DUN yang ditandingi.

Hakikatnya, parti-parti politik di negara ini bertanding dalam sistem "first pass the post" atau hanya mengambil kira pemenang pertama.

Rakyat biasa yang bosan

Tidak kiralah betapa kuat sokongan pengundi kepada parti yang mendapat tempat kedua, parti terbabit tetap kalah. Jika PAS mendapat tempat kedua di semua kerusi yang ditandinginya, PAS tetap kalah di semua kerusi.

Memahami hakikat ini adalah penting kerana mana-mana pimpinan politik yang memahaminya, akan menolak serta-merta premis jemputan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah agar PKR dan BERSATU menyertai blok ketiga iaitu gabungan berteraskan parti-parti Melayu.

Pertamanya, premis bahawa gabungan parti berasaskan Melayu/Islam semata-mata akan menang melawan Umno/BN atas alasan "1+1 = 2" adalah tidak tepat kerana gabungan itu akan ditolak oleh pengundi bukan Melayu.

Kedudukan sokongan pengundi bukan Melayu kepada PAS pada paras 3 peratus membayangkan blok ketiga yang konsepnya berasaskan parti-parti Melayu itu akan ditolak pengundi bukan Melayu.

Keduanya, masalah utama pembangkang untuk menewaskan Umno/BN bukanlah berkisar mengenai undi Melayu semata-mata.

Kumpulan pengundi penentu dalam PRU14 nanti ialah golongan rakyat biasa yang bosan dengan percaturan politik yang tidak berkesudahan sehingga dilihat mengabaikan kebajikan mereka.

Pada pandangan mereka, parti-parti politik rancak mengeluarkan kenyataan mengenai gabungan dan percaturan politik, tetapi tidak selantang memperjuangkan isu yang ada kesan serta-merta kepada mereka.

Kesannya, mereka menjauhkan diri daripada mana-mana parti politik (kerajaan atau pembangkang) kerana beranggapan ahli politik hanya memikirkan kedudukan masing-masing sahaja.

Kelompok pengundi begini adalah kumpulan terbesar sekitar iaitu antara 15 peratus hingga 20 peratus daripada keseluruhan pemilih.

Mereka sememangnya menolak BN tetapi ada kemungkinan mereka mengambil keputusan untuk tidak mengundi jika "tawar menawar" parti-parti politik berterusan tanpa kesudahan.

Jika mereka tidak keluar mengundi, Umno/BN akan menang.

Jika mereka berjaya diyakinkan untuk mengundi pembangkang, Umno/BN akan kalah.

Kecenderungan mereka adalah untuk mengundi gabungan pembangkang yang membawa isu rakyat.

Sebab itu lagi cepat kesemua parti pembangkang membuat keputusan (sama ada PAS mahu bekerjasama atau tidak dengan HARAPAN dan BERSATU) lebih cepat isu-isu rakyat dapat diberi tumpuan yang lebih.

Bertikam lidah di media sambil mengungkit siapa lebih banyak sokongan adalah jalan berkesan untuk memenangkan Umno/BN, kerana ia memualkan kumpulan pengundi yang penting ini.

RAFIZI RAMLI ialah anggota parlimen Pandan dan pengasas INVOKE. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysiakini
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: PAS, 1+1 tak semestinya 2 Rating: 5 Reviewed By: McTheory
Scroll to Top