Latest News

Sunday, 12 February 2017

Lang Merah Benam Tok Gajah Di Darulaman


Pasukan pendahulu liga, Pahang, turun bertandang ke Stadium Darul Aman di Alor Setar untuk mencabar keutuhan pasukan Kedah.

Dan begitulah yang berlaku. Dengan rekod tidak pernah kalah, rekod mereka dicalar Helang Merah - dan gawang mereka bukan saja dirobek sekali tetapi empat kali.

Skuad Tok Gajah itu terpaksa akur dengan kekalahan 1-4 sekali gus memberi peluang buat Helang Merah melompat dari posisi di tangga ketiga menjadi menerajui carta liga minggu ini.

Aksi rancak dipamerkan anak buah Tan Cheng Hoe dan Dollah Salleh sebaik sepak mula 45 minit pertama.

Seperti biasa, Baddrol Bakhtiar dan rakan-rakan tampil dengan percaturan gerakan pendek menguasai padang keramat mereka.

Pahang pula terpaksa akur dengan tekanan pasukan lawan dan tampil dengan saingan sengit.

Pasukan pelawat nampaknya sukar untuk membaca perencanaan bervariasi tuan rumah.

Kedah lebih bersedia dengan kelincahan pemain di posisi serangan dan kekebalan benteng pertahanan.

Hantaran-hantaran pendek pemain Kedah berlegar di kotak penalti lawan dan akhirnya berjaya disempurnakan Baddrol selepa dia memperdaya pertahanan Pahang dengan sepakan leret ke arah kanan gawang untuk gol pertama.

Aksi separuh masa kedua, Kedah nampak benar-benar mahu 'pulun' skuad Tok Gajah di gelanggang sendiri dengan kejutan demi kejutan dilakukan.

Ken Ilso Larsen tampil merekodkan namanya sebagai penjaring kedua pada minit ke-67 perlawanan, disusuli jaringan lapan minit berselang oleh Farhan Roslan yang masuk sebagai pemain gantian.

Kedudukan 3-0 itu memperlihatkan pasukan Pahang mula menggandakan asakan, manakala Kedah mula memperkemaskan benteng pertahanan.

Bagaimanapun, Matheus Alves berjaya membolosi kawalan Ifwat Ikmal Che Kassim untuk gol tunggal Tok Gajah pada minit ke-89.

Namun, Ken Ilso sekali lagi menghadiahkan gol buat pasukannya ketika ribuan penyokong Kedah mula meraikan kejayaan mereka pada tempoh masa tambahan.

Artikel Malaysiakini
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Lang Merah Benam Tok Gajah Di Darulaman Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top