Latest News

Tuesday, 17 January 2017

Kalau Bukan Untuk Rakyat, Apa Makna Perjuangan Kita Ini! - @MukhrizMahathir


#Video ucapan penuh Dato' Seri Hj Mukhriz Mahathir, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia sempena majlis pelancaran dan perasmian.

Teks ucapan penuh Dato Seri Hj Mukhriz Tun Mahathir di Perasmian dan Pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang gilang gemilang.

1. Alhamdulillah saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya kita dapat berhimpun di Stadium Malawati untuk menyertai dan meraikan hari yang penuh bersejarah ini, hari parti kita Parti Pribumi Bersatu Malaysia dilancarkan secara rasmi, sekaligus menjadi pencetus dalam arena politik negara.

2. Saya dengan besar hati dan penuh hormat mengalu-alukan rakan seperjuangan, barisan kepimpinan dan ahli parti-parti Pakatan Harapan iaitu dari Parti Keadilan Rakyat, Democratic Action Party dan Parti Amanah Negara yang hadir bersama-sama kita pada malam yang bersejarah ini. Selamat Datang dan Terima Kasih. Tak kurang besar hati kita mengalu-alukan (kepimpinan dan) wakil-wakil dari Parti Islam SeMalaysia, Parti Warisan Sabah serta rakan-rakan dari kempen Selamatkan Malaysia. Ahlan wa sahlan wa marhaban bikum.

3. Selamat datang juga kami ucapkan kepada kepimpinan dan wakil-wakil badan bukan kerajaan.

4. Bagi pihak PPBM, saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada wakil kedutaan negara-negara asing yang turut hadir pada malam ini. Thank you for honouring us with your presence tonight.

5. Tentulah yang teristimewa sekali saya mengalu-alukan kehadiran Tuan-tuan dan Puan-puan, Ahli-ahli PPBM yang datang dari seluruh pelusuk negara - dari Padang Besar, Perlis hinggalah ke Pengerang, Johor. Kepimpinan PPBM kagum dan teruja kerana ahli-ahli kita datang dari jauh dan dekat dengan menaiki bas, atau keretapi, ada yang berpakat dengan kawan-kawan dan pandu kereta sendiri. Malah ada juga yang berkonvoi motosikal dari jauh semata-mata untuk bersama meraikan hari bersejarah ini.

6. Dan kesemuanya datang tanpa tajaan, tanpa peruntukan dari ketua-ketua kita. Semuanya atas inisiatif dan perbelanjaan sendiri. Tahniah dan syabas kami ucapkan! Inilah semangat perjuangan yang kita mahu dari seluruh warga Parti kita! Anda semua adalah DENYUT NADI Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Andalah pejuang kebenaran. Anda semua penegak keadilan, yang merapatkan saf dan bersatu selamatkan Malaysia, inshaa-Allah.

7. Alu-aluan khas juga kepada Rakyat Malaysia yang berada di Stadium Malawati, di dalam stadium dan jutaan lagi di luar sana. Terima Kasih yang tak terhingga kami ucapkan di atas sokongan yang tak berbelah bahagi yang mendorong kami untuk terus berjuang. Kalau tidak KERANA Rakyat, apa punca perjuangan kita ini? Kalau tidak UNTUK rakyat, apa makna perjuangan kita ini?
Tuan-tuan, Puan-puan yang saya muliakan,

8. Begitu ramai pihak yang menyinsing lengan, bersengkang mata untuk menjayakan majlis ini. Selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur majlis pada malam ini, dan acara-acara di luar Stadium ini, saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semuanya yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung. Tahniah dan Syabas!

9. Juga tak kurang bermakna bagi kita semua, tajaan yang kita terima dari pelbagai pihak untuk membiayai perayaan kita ini. Sumbangan-sumbangan ikhlas inilah yang meringankan bebanan kos yang kita tanggung untuk memastikan majlis bersejarah ini berlangsung dengan penuh impak. Jazakallah Khairan katsiran.
Hadirin hadirat sekalian,

10. Saya ingin sampaikan khabar gembira kepada kita semua. Atas sebab kita berada di atas landasan yang betul; oleh kerana kita berjuang dengan nilai yang murni lagi luhur; oleh sebab kita berusaha bersungguh-sungguh agar negara yang kita cintai ini tidak jatuh tersungkur, dan disusuli pula dengan menadah tangan penuh ikhlas dan tawadduk merayu kepada Allah SWT untuk memakbulkan doa, maka saya yakin bahawa kemenangan akan memihak kepada kita akhirnya. PPBM dan rakan-rakan parti politik seperjuangan akan dapat menawan hati Rakyat, memenangi Pilihanraya Umum ke-14 lantas menubuhkan Kerajaan Persekutuan yang baharu ---selain Kerajaan-Kerajaan Negeri, In shaa Allah!

11. Namun, kalau kita tidak lakukan sesuatu, tidak sanggup berkorban kepentingan jangka pendek, goyang kaki sambil mengharapkan orang lain untuk selamatkan keadaan, melakukan perkara yang sama berulang kali sambil mengharapkan hasil yang berbeza, atau lebih teruk lagi kalau kita tewas kepada dedak, maka itu semua hanya mimpi Mat Jenin semata-mata. Angan-angan yang tak akan menjadi nyata. Hidup kita semakin sengsara, masa depan anak cucu kita gelap gelita. Malaysia terus menuju binasa.

12. Tapi, kalau Tuan-tuan Puan-puan sayangkan negara, mahukan yang terbaik bagi seluruh Rakyatnya, sedar mengenai kemungkaran demi kemungkaran yang dilakukan oleh parti yang memegang kuasa, sanggup berkorban untuk menjamin masa depan yang cerah bagi anak cucu kita,

13. Maka bingkas bangun, sama-samalah kita gerak sederap menuju ke arah kejayaan yang dijanjikan oleh Allah SWT bagi ummat yang berpegang kuat kepada taliNya!

14. Kami sedar perjuangan ini tidak mudah; ranjau dan duri merintang laluan, sekatan dan ugutan bersilih ganti, namun demi membela rakyat yang dianiayai dan mengharumkan semula nama Malaysia di persada dunia, kami galas amanah dan kepercayaan ini dengan tawaduk, taat, sabar dan qanaah.

15. “Marilah Bersama Mencipta Sejarah..Berjuang Dengan Semangat Yang Membara..Bercerai Kita Roboh..Bersatu Kita Teguh…Bersatu Selamatkan Malaysia”

16. Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullah Hi Wabarakatuh.

  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kalau Bukan Untuk Rakyat, Apa Makna Perjuangan Kita Ini! - @MukhrizMahathir Rating: 5 Reviewed By: McTheory
Scroll to Top