Latest News

Saturday, 2 April 2016

Jasa Tun Dr Mahathir Membantu Ikon Antiaparteid Didedahkan!


Cerita Yang Rakyat Tidak Tahu Mengenai Tun Mahathir: Mandela hargai jasa Malaysia

Tidak pernah terlintas di fikiran pengasas Limkokwing University of Creative Technology (LUCT), PROFESOR EMERITUS TAN SRI DR. LIM KOK WING bahawa beliau akan menjadi individu bertuah yang dapat bekerja bersama-sama ikon antiaparteid, Nelson Mandela.

Semuanya bermula apabila beliau diarahkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membantu Mandela dan partinya, Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) berkempen pada pilihan raya demokratik negara itu yang pertama dari penghujung 1993 sehingga awal 1994.

Dalam satu wawancara dengan wartawan Mingguan Malaysia, Kok Wing, 67, menceritakan pengalaman pasukan Malaysia yang diketuainya berkempen di segenap ceruk negara itu selama enam bulan sehingga ANC menang dengan majoriti 62 peratus undi.

Mereka terpaksa mengambil risiko kerana pada masa itu kejadian letupan bom masih lagi berlaku. Akhirnya, hasil kerja keras pasukan kempen dan sumbangan dana dari Malaysia membolehkan Mandela dipilih sebagai Presiden kulit hitam pertama di Afrika Selatan.

“Sudah tiba masanya rakyat mengetahui perkara sebenar mengenai apa yang berlaku 20 tahun lalu apabila Malaysia khususnya Dr. Mahathir bersungguh-sungguh membantu Mandela atas semangat setiakawan dan antiaparteid yang cukup hebat," kata Kok Wing.

Bersama ikon perdamaian, Nelson Mandela ketika berkhidmat bersama parti ANC pada tahun 1993.

MINGGUAN: Secara ringkas, bagaimana hubungan antara Malaysia dan Afrika Selatan?

LIM KOK WING: Hubungan ini telah terjalin sekian lama malah sejak zaman Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Namun hubungannya tidak baik kerana wujud dasar aparteid di Afrika Selatan. Malaysia antara negara yang menentang kuat dasar aparteid. Tunku Abdul Rahman ialah pemimpin pertama yang mencadangkan supaya Afrika Selatan disingkirkan daripada pertubuhan negara-negara Komanwel kerana negara itu mengamalkan dasar aparteid iaitu ketika berlangsungnya persidangan Perdana Menteri negara-negara Komanwel pada 1960.

Akhirnya pada 1961, Afrika Selatan tidak lagi menjadi anggota Komanwel dan sejak itu Malaysia telah memainkan peranan sebagai antara negara pendesak. Malaysia mahu pihak antarabangsa memberikan tekanan kepada Afrika Selatan bagi menamatkan segera dasar aparteid. Malaysia menggesa demokrasi ditegakkan di negara berkenaan. Bagaimanapun, segala-galanya berubah apabila Mandela dibebaskan dan ia berlaku ketika zaman pemerintahan Dr. Mahathir.

Mandela kemudiannya datang ke negara ini untuk bertemu dengan Dr. Mahathir. Ketika berkunjung ke Malaysia, saya telah diperkenalkan oleh Dr. Mahathir kepada Mandela. Saya telah diminta menggalas satu tugas besar iaitu membantu beliau dan partinya ANC berkempen pada pilihan raya demokratik pertama negara berkenaan. Untuk makluman semua, Mandela ialah rakan karib kepada Dr. Mahathir.

Selama ini saya bekerja rapat dengan Dr. Mahathir dan apabila beliau meminta saya membantu Mandela dan ANC, saya terus setuju. Saya berpendapat pada masa itu kita perlu membantu Afrika Selatan bagi membolehkan mereka mengecapi kebebasan selain membuktikan dasar aparteid itu adalah salah. Sebenarnya, Mandela amat mengharapkan bantuan daripada Malaysia. Beliau lebih percayakan negara ini dan tahu kita akan memberi sokongan sepenuhnya. 

Selepas diberi tanggungjawab itu, apa langkah Tan Sri seterusnya?

LIM KOK WING: Saya berada di Afrika Selatan selama enam bulan dan dalam tempoh itu pelbagai cadangan telah diberikan untuk tujuan kempen. Oleh kerana ANC dipimpin bekas pejuang pembebasan yang tidak berpengalaman langsung berkempen ketika pilihan raya, mereka bergantung sepenuhnya kepada pasukan dari Malaysia untuk mengurus dan menjalankan kempen. Kita telah mencipta satu slogan khas untuk ANC bagi menarik sokongan rakyat kepada mereka. Sebagai seorang yang telah lama terlibat dengan bidang pengiklanan, saya tahu bukan mudah untuk kita memperkenalkan satu slogan yang mampu menarik minat orang ramai. Pada awalnya saya cadangkan slogan A better future for all tetapi pihak ANC mahu ia diubah kepada A better life for all. Saya mencadangkan perkataan future (masa depan) kerana ia merujuk kepada satu tempoh yang panjang, manakala life merujuk pada kehidupan baik pada waktu sekarang sahaja.

Namun, akhirnya kami akur untuk menggunakan slogan A better life for all dengan merujuk kehidupan yang baik untuk semua orang secara bersama-sama. Slogan ini masih digunakan sehingga sekarang meskipun selepas 20 tahun dicipta. Untuk menjadikan slogan ini signifikan, kita telah memasukkan kanak-kanak pelbagai warna kulit dan keturunan bersama-sama dengan Mandela dan kemudian telah membentuk satu poster kempen yang amat menarik. Mesejnya cukup jelas iaitu untuk perdamaian, kesatuan dan perpaduan.

Difahamkan ANC enggan menerima poster yang memaparkan kanak-kanak berkulit putih?

LIM KOK WING: Poster kempen ini memaparkan Mandela bersama-sama kanak-kanak Afrika Selatan berusia 5 hingga 8 tahun yang mewakili kulit putih, hitam, India, Melayu Cape Town dan lain-lain etnik. Gambar ini telah dirakam oleh jurugambar dari Malaysia dan membawa maksud reconciliation (perdamaian). Kalau dilihat pada poster yang dibuat, terdapat dua kanak-kanak kulit putih bersama-sama Mandela. Saya ingin meletakkan tiga orang, tetapi ANC hanya mahu seorang sahaja kanak-kanak kulit putih. Akhirnya saya meletakkan dua orang. 

Pemimpin-pemimpin ANC tidak bersetuju dan menyifatkan poster kempen yang saya buat itu seperti bijirin sarapan pagi, Kellogs dan terlalu banyak bertolak ansur dengan pihak yang telah lama menindas orang kulit hitam. Ia juga 100 peratus berbeza dengan apa yang dikehendaki oleh ANC yang mahukan poster gambar genggaman tangan sebagai tanda melawan. Saya nyatakan kepada mereka yang ANC sudah pasti mendapat undi orang kulit hitam, oleh itu tumpuan perlu dibuat bagi menarik sokongan orang kulit putih.

Saya mengambil masa selama tiga minggu untuk meyakinkan pihak ANC supaya menggunakan gambar dan slogan ini. Saya bercakap dengan Mandela sendiri bagi menjelaskan idea berkenaan dan beliau faham dan bersetuju dengan saya. Beliau bersama-sama dengan saya kemudiannya memberi penjelasan kepada pemimpin-pemimpin ANC supaya menerima idea berkenaan. Saya masih ingat kata-kata Mandela ketika itu iaitu lelaki ini (Kok Wing) datang dari negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum, jadi dia tahu bagaimana untuk membawa rakyat hidup bersama-sama. Kita mesti membawa semua rakyat kita hidup bersama-sama. Saya mengemukakan idea ini kerana merasakan salah satu tugas penting yang perlu saya laksanakan adalah memastikan semua rakyat Afrika Selatan dapat hidup bersama-sama.

Orang berkulit putih menguasai 80 peratus kekayaan negara berkenaan, sekiranya kita tidak membawa semua supaya bersatu, apa akan terjadi jika orang kulit putih berhijrah ke negara lain. Akhirnya poster ini menjadi kesukaan ramai. Penduduk mengambil dan menampalkan dalam rumah mereka, sehingga kita kehabisan poster.

Nampaknya, kumpulan Tan Sri turut berperanan mencetuskan kesedaran rakyat Afrika Selatan mengenai hak mereka sebagai pengundi?

LIM KOK WING: Kita mahu memberikan kesedaran kepada mereka betapa pentingnya sesebuah pilihan raya serta tanggungjawab mereka sebagai pengundi. Cuba lihat poster ini dan cuba lihat surat yang diberikan kepada saya oleh Mandela. Di dalam surat bertarikh 12 April 1994 ini, Mandela mengucapkan penghargaan kepada saya serta kumpulan saya atas sumbangan besar kami sepanjang kempen diadakan. Sumbangan ini termasuk mendidik masyarakat mengenai pilihan raya. Untuk itu kita telah mencetak begitu banyak risalah yang tujuannya menunjukkan cara yang betul untuk mengundi. Kita mahu mereka supaya pangkah parti ANC pada hari pengundian. Kita mahu ANC menang pada pilihan raya tersebut.

Untuk pengetahuan semua, bahan-bahan kempen seperti poster, risalah, papan iklan dan sepanduk kesemuanya dicetak di Malaysia dan kemudian dihantar ke Afrika Selatan menggunakan kapal. Kita mahu memastikan bahan-bahan kempen ini dapat disiapkan sepenuhnya, seterusnya diagih-agihkan ke seluruh Afrika Selatan. Sekiranya semua bahan-bahan kempen ini dicetak di Afrika Selatan, kita tidak boleh pastikan sama ada ia boleh siap atau tidak.

Dengan siapa Tan Sri bertugas sepanjang enam bulan di Afrika Selatan?

LIM KOK WING: Saya mempunyai 10 orang pembantu dari Malaysia. Saya juga mempunyai beberapa petugas tempatan berjumlah antara 20 hingga 30 orang bergantung kepada keadaan. Dalam tempoh enam bulan di Afrika Selatan saya juga bekerja dengan beberapa pemimpin kanan ANC antaranya, Thabo Mbeki (bekas Presiden Afrika Selatan); Jacob Zuma (Presiden Afrika Selatan sekarang); Cyril Ramaposa dan Dr. Popo Molefe. Kebanyakan mereka menjadi menteri selepas kemenangan besar ANC pada pilihan raya umum pertama negara itu.

Tan Sri sebenarnya sedang membawa nama Malaysia, boleh komen?

LIM KOK WING: Ya, selama di sana saya membawa nama Malaysia. Namun apa pun, yang pasti misi saya di Afrika Selatan sentiasa berhadapan dengan situasi bahaya. Ketika itu kejadian letupan bom di hotel dan lapangan terbang masih berlaku. Saya juga bekerja rapat dengan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Abdul Halim Ali yang ketika itu bertugas di Kementerian Luar. Sekiranya saya lihat semula keadaan pada masa itu tidak dinafikan kerja saya amat berbahaya.

Walaupun saya sentiasa diiringi oleh pasukan keselamatan tetapi saya sukar untuk mengenali mereka kerana setiap hari bertukar orang. Saya sedar bahaya sentiasa menanti. Namun saya tiada pilihan kerana pilihan raya semakin dekat. Saya terpaksa mengambil risiko untuk memastikan kemenangan ANC dan Mandela. Isteri saya juga begitu marah kerana kejadian letupan bom masih lagi berlaku dan dia mendesak saya pulang ke tanah air.

Halim juga minta saya pulang tetapi saya kata saya perlu selesaikan tugas ini dengan sempurna. Saya perlu menyiapkan setiap tugas yang telah diamanahkan walaupun keadaan amat berbahaya ketika itu. Apa yang kita lakukan ini atas arahan Dr. Mahathir dan ia sebenarnya memberi kredit kepada Malaysia. Sekiranya tiada pihak yang sudi menghulurkan bantuan kepada ANC, siapa lagi?. Pengalaman lain yang saya tidak dapat saya lupakan apabila kami menjelajah semua negeri di negara itu dengan menaiki helikopter yang usang. Kami juga menaiki kenderaan yang dipandu sangat laju kerana mahu mengejar masa dan dalam masa sama atas faktor keselamatan bagi mengelak dikejar dan diserang. Sememangnya misi kita untuk membantu ANC ini merupakan satu misi besar dan ‘senyap’ (tanpa diheboh-hebohkan). Sebelum saya terlupa Molefe yang ketika itu memegang jawatan sebagai Pengerusi Kempen Pilihan Raya ANC turut mengutuskan surat bertarikh 25 April 1994 kepada saya untuk mengucapkan penghargaan kerana bekerja keras membantu mereka untuk memenangi pilihan raya pertama Afrika Selatan.

Selama 20 tahun ini rakyat Malaysia langsung tidak tahu pembabitan Malaysia dalam membantu ANC?

LIM KOK WING: Memang rakyat tidak tahu sumbangan Malaysia terhadap usaha menghidupkan proses demokrasi di Afrika Selatan. Saya juga akui terdapat beberapa syarikat televisyen luar negara telah menghubungi saya untuk mendapatkan maklumat mengenai perkara ini. Inilah sumbangan Malaysia kepada Afrika Selatan. Inilah sumbangan yang Malaysia berikan kepada Mandela sekalipun Dr. Mahathir tidak pernah menceritakannya, begitu juga dengan Daim. Sebab itu saya pun mendiamkan sahaja perkara ini.

Cuma, pada Ogos lalu kita ada menganjurkan majlis penyampaian anugerah khas untuk Mandela atas sumbangannya tidak terhingga kepada keamanan dunia sejagat. Anugerah ini kita namakan sebagai Mahathir Award for Global Peace. Dr. Mahathir telah menyerahkannya kepada Zuma sebagai wakil kepada Mandela. Penyampaian anugerah tersebut turut disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Bagi saya Mandela dan Afrika Selatan terlalu dekat di hati saya. Mungkin disebabkan pembabitan saya dalam kempen ANC selama enam bulan di sana, 20 tahun lalu.

Selepas kemenangan ANC, apa yang berlaku?

LIM KOK WING: Semua orang tahu siapakah Mandela. Apabila beliau menjadi Presiden semua orang menari dengan gembira. Tetapi satu perkara penting yang seharusnya diketahui terutama rakyat Malaysia adalah peranan Dr. Mahathir dan pasukan dari Malaysia yang menyokong tokoh ini di sebalik tabir sehinggalah beliau dan ANC menang. Kita dari Malaysia berada di sana untuk menghulurkan bantuan selepas Mandela yang baru beberapa tahun dibebaskan daripada penjara telah meminta bantuan daripada Dr. Mahathir kerana kagum dengan keharmonian penduduk berbilang kaum di negara ini. Tugas kempen ini memang cukup berat kerana ANC bukan sahaja berhadapan parti kulit putih, malah perlu melawan sebuah parti kulit hitam lain yang mewakili kaum Zulu.

Apa perasaan Tan Sri apabila dimaklumkan Mandela meninggal dunia?

LIM KOK WING: Apabila mendengar berita ini, perkara pertama yang terfikir dalam fikiran saya ialah Dr. Mahathir kerana beliau yang memberi panduan kepada saya mengenai apa yang perlu saya lakukan bagi membantu Mandela. Beliau selalu mengingatkan saya supaya menyelesaikan tugas berkenaan dengan sebaik mungkin. Kerana kami adalah satu-satunya pasukan yang menjalankan kempen untuk ANC. Pemergian Mandela sudah dijangkakan kerana beliau sudah tua dan sakit dalam tempoh yang cukup lama. Kita telah kehilangan seorang sahabat baik kerana dalam banyak perkara, Afrika Selatan dan Malaysia mempunyai hubungan akrab.

Saya merasa sedih kerana sangat sukar untuk mencari tokoh lain seperti Mandela yang dapat menyatukan ramai orang. Meskipun berada selama 27 tahun dalam penjara, beliau tidak berasa marah dengan orang kulit putih. Beliau juga boleh bekerja dengan sesiapa sahaja.

Apakah iktibar daripada pemergian Mandela?

LIM KOK WING: Kita mesti mengambil pengajaran bahawa apabila seseorang tokoh yang sukar dicari ganti ini pergi, beliau akan pergi selama-lamanya. Berbalik kepada Dr. Mahathir, bagi saya beliau ialah tokoh hebat peringkat global dan setaraf dengan Mandela. Ketika beliau masih lagi bersama kita, saya berharap semua orang mendengar nasihat dan menghargai beliau. Kabinet mesti memberikan perhatian terhadap segala pandangan yang beliau luahkan kerana beliau bercakap daripada lubuk hatinya.

Apa yang saya kesalkan, terdapat orang kita sendiri yang mengkritik beliau secara terbuka. Kalau nak juga mengkritik lakukanlah secara tertutup dan jangan melakukannya di hadapan khalayak ramai. Sekiranya kita pergi ke Afrika, kita akan sedar bahawa Dr. Mahathir ialah seorang hero di sana. Semua orang mengenali dan menyayangi beliau. Begitu juga di negara Arab dan Asia Tengah, semua kenal beliau.

Kalau kita pergi ke negara orang Buddha seperti Vietnam dan Myanmar, beliau juga dikenali sebagai seorang hero yang hebat. Malangnya di negara sendiri, orang tidak menghargai nasihat beliau
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Jasa Tun Dr Mahathir Membantu Ikon Antiaparteid Didedahkan! Rating: 5 Reviewed By: Pisau Kedah
Scroll to Top