Latest News

Wednesday, 13 April 2016

Budak Jual Sayur Kini Pemain Tengah Kedah Dan Malaysia


KIRA-KIRA 10 tahun lalu, Mohd Amirul Hisyam Awang Kechik hanya seorang budak yang perlu membantu bapanya menjual sayur bagi menyara keluarga.
Di sisi meja yang ditimbuni sayur di Sungai Tiang, Pendang, budak lelaki ini berangan untuk menyarung jersi pasukan Kedah pada suatu hari nanti.
Namun, angan-angan itu tidak hanya menjadi mimpi di siang hari, tetapi dia terus berusaha menjadi seorang pemain bola sepak terbaik di peringkat sekolah.
Oleh itu tidak hairanlah apabila Mohd Amirul Hisyam diterima bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Anum Tunku Abdul Rahman, Jitra yang merupakan sebuah sekolah sukan terbaik di Kedah.
Ketika di sekolah tersebut Mohd Amirul Hisyam yang beraksi sebagai pemain tengah mula 'mengganas' bersama rakan seusianya seperti Muhd Syafiq Ahmad (kini penyerang Kedah).
Aksinya yang memukau dalam mengawal bahagian tengah membuatkan namanya disenarai dalam skuad Piala Presiden Kedah, namun kemampuan pemain ini dilihat lebih baik dan dipanggil mewakili negara.
Pada 2011, ketika berusia 16 tahun, Mohd Amirul Hisyam yang turut diperkuatkan dengan restu ibu bapanya berjaya meletakkan diri sebagai pemain skuad Bawah 17 Tahun Malaysia.
Ketika sedang rancak membina kerjaya dan kejayaan dalam bola sepak, Mohd Amirul Hisyam dikejutkan dengan pemergian ibu tercinta pada 2014.
Walaupun hati anak muda ini luluh kerana kehilangan 'tulang belakang' hidupnya, namun dia meneruskan cita-cita yang disokong ibunya.
Pada 2014 sehingga 2015, Mohd Amirul Hisyam masih beraksi untuk pasukan remaja negara iaitu skuad Bawah 20 Tahun (Harimau Muda B) sebelum dilepaskan kepada pasukan negeri masing-masing.
Pada tahun ini, hasrat Mohd Amirul Hisyam ketika menjual sayur bersama bapanya menjadi kenyataan, pemuda ini bukan sahaja disenaraikan sebagai pemain skuad Helang Merah, tetapi menjadi watak penting dalam skuad bimbingan Tan Cheng Hoe.
Amirul ketika menghalang bola daripada pemain Pulau Pinang dalam saingan Liga Super.
Ketika penulis bertemu pemain berkenaan dan mendengar kisah perjalanan hidupnya, dia turut mendedahkan cita-citanya dalam sukan bola sepak.
"Cita- cita saya ialah membantu pasukan Kedah meraih kejuaraan Liga Malaysia dan meningkatkan kembali martabat bola sepak negara bersama pemain lain.
"Pada masa sama saya mahu beraksi di Eropah walaupun saya tahu ia bukan mudah untuk dicapai," katanya kepada mStar Online.
Tambah Mohd Amirul Hisyam, dia  tidak sangka akan berada dalam kesebelasaan utama Kedah sebaik sahaja diterima masuk ke dalam skuad yang memjuarai Liga Premier musim lalu," ujarnya.
Mohd Amirul Hisyam memberitahu, segala usaha itu dilakukan demi membalas jasa bapanya yang sentiasa memberi sokongan.
"Saya bukan dilahirkan dalam keluarga kaya tetapi bapa saya adalah seorang peniaga sayur, saya pernah menolong bapa saya berniaga dan dengan rezeki inilah  yang membesarkan saya dan menjadikan diri ini sebagai seorang pemain bola sepak.
"Saya sangat terhutang budi kepada kedua ibu bapa saya yang sentiasa memberi sokongan dan semangat.
"Allahyarham ibu sentiasa memberi sokongan padu hingga ke akhir hayatnya, saya akan sentiasa merindui ibu," kata pemain muda berkaliber itu.
Sumber :  Mstar
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Budak Jual Sayur Kini Pemain Tengah Kedah Dan Malaysia Rating: 5 Reviewed By: Pisau Kedah
Scroll to Top