Latest News

Wednesday, 20 April 2016

1MDB hadapi risiko gagal bayar faedah AS$50 juta


1MDB menghadapi risiko gagal bayar apabila syarikat International Petroleum Investment Company (IPIC) milik Abu Dhabi tidak lagi bersedia untuk membayar faedah bon yang diterbitkan 1MDB, lapor akhbar The Straits Times Singapura.

1MDB perlu menjelaskan bayaran faedah AS$50 juta kepada pemegang-pemegang bon bagi bon AS$3.5 bilion yang diterbitkannya pada 2012.

"Pegawai kerajaan Malaysia yang bercakap kepada The Straits Times dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, berkata IPIC secara tidak rasmi memaklumkan kepada 1MDB bahawa ia tidak berniat untuk mematuhi pembayaran faedah kerana keingkaran dalam perjanjian bon.

"Eksekutif kewangan kanan yang rapat dengan butiran mesyuarat minggu lalu berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga adalah menteri kewangan telah dinasihatkan bahawa kegagalan membayar ansuran faedah minggu ini akan menyebabkan 1MDB gagal bayar ke atas bon terbitan AS$3.5 bilion itu.

"Ini, seterusnya, boleh mencetuskan apa yang dipanggil ‘cross-default’ atau kegagalan membayar komitmen 1MDB lain. Ini bermakna pemiutang lain 1MDB boleh menuntut penyelesaian awal atau bayaran dipercepatkan bagi hutangnya yang kini mencecah kira-kira AS$5.1 bilion," petik laporan itu.

IPIC pada Oktober dan November tahun lalu membayar AS$103 juta bagi pihak 1MDB sebagai sebahagian daripada kewajipannya, selepas menjamin dua bon 1MDB bernilai AS$3.5 bilion pada tahun 2012.

Menurut jaminan itu, IPIC bertanggungjawab untuk membayar balik AS$3.5 bilion serta semua faedah berkaitan sekiranya 1MDB tidak mampu berbuat demikian.

Sebagai pertukaran, 1MDB perlu memberi cagaran sebanyak A$1.4 billion kepada anak syarikat IPIC, Aabar Investments PJS dan juga tawaran kepada syarikat tersebut untuk membeli 49 peratus saham dalam aset-aset tenaga 1MDB.

Secara keseluruhan, 1MDB sepatutnya membayar AS$3.54 bilion kepada IPIC dan unitnya.

Walau bagaimanapun, IPIC mendapati bahawa syarikat berkenaan tidak pernah menerima wang yang dijanjikan dan kini tidak lagi mahu membayar pokok dan faedah bagi bon 1MDB bernilai AS$3.5 bilion itu.

Wang berkenaan sebaliknya disalurkan ke sebuah syarikat yang berpangkalan di Kepulauan British Virgin - Aabar Ltd - yang menurut IPIC tidak berkaitan langsung dengannya. Laporan itu mendakwa bahawa Najib berkeras bahawa Abu Dhabi da bukannya 1MDB, perlu membuat bayaran faedah AS$50 juta yang akan matang esok. - Malaysiakini
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: 1MDB hadapi risiko gagal bayar faedah AS$50 juta Rating: 5 Reviewed By: Pisau Kedah
Scroll to Top