Latest News

Thursday, 3 December 2015

Kedah Bangkit Ikat Felda United Pada Separuh Akhir Pertama Piala Malaysia



Juara Liga Perdana, Kedah bangkit daripada ketinggalan sebanyak dua kali sebelum berjaya mengikat Felda United 2-2 pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini.

Keputusan seri itu, nyata memberi kelebihan kepada skuad Helang Merah yang membawa dua gol dari tempat lawan, menjelang aksi timbal balik menentang Felda United di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Ahad ini.

Pada aksi malam ini, Thiago Augusto Fernandes meletakkan Felda United di hadapan pada minit ke-13, namun kedudukan berkenaan tidak bertahan lama apabila Sandro Da Silva menanduk masuk gol penyamaan untuk Kedah pada minit ke-37.

Gol Sandro itu mendapat bantahan daripada pemain Felda United setelah mereka mendakwa bola berkenaan belum melintasi garisan gol, namun pengadil Mohd Zohri Tajudin membenarkan gol tersebut, selepas mendapatkan pandangan daripada penolong pengadil satu, M. Sivanesan.

Thiago sekali lagi bertindak cemerlang meledak gol peribadi kedua pada minit ke-54 setelah memanfaatkan hantaran Zah Rahan Krangar, sebelum penyerang import dari Nigeria, Chidi Edeh menyamakan kedudukan untuk pasukan pelawat, selang lapan minit kemudian.

Keputusan seri 2-2 itu kekal sehingga berakhir perlawanan berkenaan.

Terdahulu, pemain dan barisan kejurulatihan kedua-dua pasukan bertafakur selama seminit sebagai menghormati kemangkatan Raja Muda Kedah, Tunku Abdul Malik Almarhum Sultan Badlishah, 86, di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pada 29 Nov lepas, akibat kegeringan.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir, juara bertahan Pahang gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri setelah terikat tanpa jaringan ketika berdepan juara 32 kali Piala Malaysia, Selangor di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Kedua-dua pasukan akan bertemu semula pada aksi timbal balik di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menetapkan final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam pada 12 Dis ini.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kedah Bangkit Ikat Felda United Pada Separuh Akhir Pertama Piala Malaysia Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top