Latest News

Tuesday, 8 December 2015

30,000 Tiket Masing-masing Untuk Finalis Kedah Dan Selangor


Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memperuntukkan sejumlah 30,000 tiket masing-masing kepada Kedah dan Selangor untuk perlawanan final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, 12 Dis ini.

FAM menetapkan harga tiket pada kadar RM40 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak bawah 12 tahun.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Ahmad berkata baki 10,000 tiket akan dijual dalam talian menerusi laman sesawang www.tickethotline.com.my mulai Rabu ini.

Selain itu, pasukan finalis turut diperuntukkan 1,000 tiket untuk kanak-kanak, katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir Piala Malaysia di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini, Isnin.

Menurutnya tiket yang diagihkan kepada kedua-dua pasukan itu akan mula dijual Khamis ini bermula pukul 10 pagi manakala pembeli tiket dalam talian boleh menebus tiket mereka di Stadium Malawati, Shah Alam, pada Khamis, bermula 10 pagi.

Pada hari perlawanan, Afandi berkata, pintu stadium akan mula dibuka pada pukul 4 petang dan penyokong Kedah perlu memasuki stadium menerusi pintu A dan B manakala penyokong Selangor di pintu C dan D.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan FAM, Datuk Osman Salleh mengingatkan penyokong kedua-dua pasukan agar tidak membawa bahan larangan seperti payung dan suar ke dalam stadium atau berdepan tindakan tegas daripada anggota keselamatan yang bertugas.

Osman, yang juga Ketua Polis Perak, berkata kawalan keselamatan akan diadakan sebelum, semasa dan selepas perlawanan di dalam dan luar stadium bagi memastikan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

"Kalau mereka (penyokong) didapati membawa bahan larangan ke dalam stadium, mereka bukan sahaja boleh ditahan malah boleh didakwa di mahkamah," katanya.

Pada masa yang sama, beliau meminta penyokong kedua-dua pasukan supaya datang awal ke stadium bagi mengelakkan kesesakan trafik yang dijangka berlaku pada hari perlawanan.

Selangor, yang juga juara 32 kali, mara ke final setelah mencatat kemenangan agregat 2-0 ke atas juara bertahan, Pahang manakala juara Liga Perdana, Kedah, layak menerusi keputusan agregat 4-3 ke atas Felda United pada aksi separuh akhir.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan pernah bertemu pada aksi final 2008 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, yang menyaksikan Kedah muncul juara menerusi kemenangan tipis 3-2.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: 30,000 Tiket Masing-masing Untuk Finalis Kedah Dan Selangor Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top