Latest News

Wednesday, 4 November 2015

Tunku Sallehduddin Perkenan Tauliah Pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Dan Pegawai Kewangan Yang Baru


Pagi ini berlangsung Istiadat Pengurniaan tauliah pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri Kedah yang baru di balai penghadapan istana anak bukit.

Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, YTM Dato' Seri DiRaja Tan Sri Tunku Sallehduddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah berkenaan mengurniakan tauliah pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah yang baru kepada Dato Bakar Bin Din dan Pegawai Kewangan Kerajaan Negeri Kedah yang baru iaitu Dato Hajah Sepiah Binti Isa

Turut hadir ke majlis ini adalah Menteri Besar Kedah YAB Dato' Seri Haji Mukhriz Tun Dr Mahathir, barisan pentadbiran kerajaan Negeri Kedah, barisan Exco Kerajaan Negeri Kedah dan Speaker Kerajaan Negeri Kedah.


Yang Berhormat
Dato’ Haji Bakar Bin Din
D.S.D.K., A.M.K., B.C.K.

Yang Berhormat Dato’ Haji Bakar Bin Din, dilahirkan pada 20 Disember 1957 di Kampung Dulang Besar, Yan, Kedah. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Tiang, Pendang, Kedah dan seterusnya melanjutkan pengajian di Sekolah Menengah Dato Syed Omar, Alor Setar. 

Sebaik menamatkan pengajiannya di peringkat menengah, beliau telah mendapat biasiswa Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman untuk melanjutkan pelajarannya ke peringkat ijazah dalam bidang Ekonomi Analisa di Universiti Malaya dan berjaya dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (B. Econ. Hons) pada tahun 1980. 

Seterusnya pada tahun 1987, beliau sekali lagi melanjutkan pengajiannya ke peringkat sarjana di Universiti Saitama, Tokyo, Jepun melalui biasiswa yang ditawarkan oleh kerajaan Jepun bagi mendalami Dasar-dasar Awam Kerajaan Jepun dan berjaya mendapat Ijazah Sarjana di dalam bidang Polisi Sains (M.PI.Sc) pada tahun 1989.

Bagi melengkapkan kehidupannya, beliau telah melangsungkan perkahwinannya dengan pasangan hidupnya iaitu Yang Berbahagia Datin Hajah Azuyah binti Hassan pada tahun 1980 , dan telah dikurniakan 4 orang cahayamata perempuan.

Beliau telah memulakan kerjaya sebagai seorang Pegawai Tadbir Negeri Kedah Darul Aman pada 1 Julai 1980. 

Di antara jawatan-jawatan yang telah disandang beliau ialah Penolong Setiausaha Kerajaan (Tempatan), Penolong Setiausaha Kerajaan (Kewangan), Penolong Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Setiausaha Majlis Perbandaran Kota Setar, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Pendang, Timbalan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Langkawi, dipinjamkan sebagai Timbalan Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), dipinjamkan sebagai Pengurus Besar Yayasan Islam Negeri Kedah, Pegawai Daerah Sik, Pegawai Daerah Langkawi, di pinjamkan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MBI), Pegawai Daerah Kota Setar dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) / Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri. 

Sepanjang perkhidmatan beliau dalam pentadbiran kerajaan negeri, beliau telah terlibat dalam beberapa misi pelaburan kerajaan negeri di luar negara seperti negara Jepun, Taiwan, Wilayah Sumatera Utara dan juga beberapa Negara di Timur Tengah.

Sumbangan bakti beliau tidak terhad kepada bidang pentadbiran sahaja malahan beliau juga turut terlibat dalam bidang sosial dan kemasyarakatan yang mana beliau telah mengambil inisiatif dalam usaha menubuhkan Persatuan Anak-anak Peneroka Negeri Kedah, selain terlibat dalam usaha memulihkan pentadbiran Koperasi Pegawai Tadbir Negeri Kedah, serta menjadi penyelaras program penghantaran pelajar-pelajar anak Negeri Kedah ke Timur Tengah di dalam bidang Pengajian Islam dan Perubatan. 

Beliau juga telah turut serta terlibat secara langsung dalam menyelaras program bantuan mangsa banjir di Pantai Timur melalui Persatuan Pegawai Tadbir yang dipimpinnya.

Beliau juga pernah menyandang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Persatuan Renang Negeri Kedah, Ahli Jawatankuasa Pengurusan Kelab Golf DiRaja Negeri Kedah, Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Kedah, Ahli Jawatankuasa Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Kedah sejak tahun 1986. Pada tahun 2012, beliau telah dilantik sebagai Yang DiPertua Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Kedah dan menerajui Koperasi Pegawai-pegawai Tadbir Negeri Kedah sebagai Presiden Koperasi sehingga kini.



Yang Berbahagia Dato Hajah Sepiah Binti Isa 
Pegawai Kewangan Kerajaan Negeri Kedah 

Dato Hajah Sepiah berasal dari Kampung Bukit, Kubang Pasu memulakan kerjaya sebagai pegawai Tadbir Negeri Kedah pada 1 Okt 1981 dan pernah menyandang beberapa jawatan seperti Pegawai Daerah Bandar Baharu, Pentadbir Tanah Kota Setar, Pegawai Daerah Kulim dan Timbalan Pengarah Tanah dan Galian (Pembangunan dan Penguatkuasaan).

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1981 dan Ijazah Sarjana Sains Pertadbiran dan Pembangunan Tanah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 2008.




  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Tunku Sallehduddin Perkenan Tauliah Pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Dan Pegawai Kewangan Yang Baru Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top