Latest News

Sunday, 8 November 2015

Rayani Air Pilih Langkawi Sebagai Hab Penerbangan



LANGKAWI, 6 Nov (Bernama) -- Syarikat penerbangan, Rayani Air Sdn Bhd memilih Langkawi sebagai hab penerbangannya dalam usaha menarik lebih ramai pelancong ke pulau peranginan itu.

Pengarah Urusannya Ravi Alagendrran berkata sebagai permulaan, sebuah pesawat Boeing 737-400 akan memulakan operasi dari Langkawi-Kota Baharu manakala sebuah lagi bagi destinasi Langkawi-Kuala Lumpur.

Katanya syarikat turut menyasarkan untuk mengembangkan operasi ke China dan India.

"Syarikat merancang untuk memperuntukkan dua buah pesawat bagi operasi penerbangan luar negara pada tahun depan," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Rayani Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) di sini hari ini.

Turut hadir Exco Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Pelancongan, Warisan dan Kerja Raya Negeri Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid mewakili Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Sementara itu, Mohd Rawi berkata beliau berharap lebih banyak syarikat penerbangan akan mengadakan perkhidmatan ke Langkawi selain Malaysia Airlines (MAS), AirAsia, Firefly dan Malindo Air pada masa ini.

Beliau berkata penambahan penerbangan ke pulau itu akan meningkatkan jumlah pelancong ke Langkawi daripada 3.5 juta orang ketika ini kepada tahap yang lebih tinggi.

Katanya pelbagai acara telah disusun sempena Tahun Melawat Kedah pada tahun depan untuk menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara mengunjungi negeri ini.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Rayani Air Pilih Langkawi Sebagai Hab Penerbangan Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top