Latest News

Wednesday, 11 November 2015

'My Happy Corner' Program Bantu Pelajar Kurang Berkemampuan Di Kedah - Mukhriz



Ucapan
YAB Dato’ Seri Hj. Mukhriz Tun Mahathir
Menteri Besar Kedah Darul Aman
Merangkap Penaung Yayasan Prihatin Rakyat Kedah

Sempena Majlis Pelancaran Program ‘My Happy Corner’ Anjuran Yayasan Prihatin Rakyat Kedah


Bertempat: Sek.Keb. Pida 3, Jitra, Kedah
Tarikh : 9 November 2015
Jam : 2.30 petang




Assalamualaikum w.b.t.
Salam Sejahtera
Salam Kedah Aman Makmur
salam Kedah Serata-rata


Alhamdulillah, saya memanjatkan setinggi-tinggi puji-pujian ke hadrat Allah S.W.T. , pada hari yang berbahagia ini dapat kita berkumpul bagi menjayakan satu lagi initiatif Kerajaan dalam usaha memperkasakan rakyat di negeri ini.

‘My Happy Corner’ adalah satu program yang dirangka oleh Yayasan Prihatin Rakyat Kedah bertujuan untuk memberi kemudahahan belajar kepada anak-anak dari keluarga yang kurang berkemampuan.

Menerusi program ini, anak-anak yang terpilih akan dibekalkan dengan meja belajar agar mereka dapat mencipta sudut belajar mereka sendiri di rumah masing-masing.

Dengan adanya ruang belajar ini, diharap para pelajar sekalian akan mendapat suntikan semangat untuk berusaha lebih gigih lagi dalam mencapai kecemerlangan akademik terutamanya bagi yang bakal menghadapi peperiksaan pada tahun hadapan.

Setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini terutamanya pihak penaja Cenviro, My Kasih Foundation, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Jabatan Pendidikan Daerah-daerah serta pihak Sekolah Kebangsaan Pida 3.

Usaha murni yang dilaksanakan pada hari ini amat besar ertinya kepada anak-anak pelajar yang terlibat. Semoga mereka dapat manfaat dari sumbangan yang diberikan.

Hadirin sekalian,

Sebagai ibu-bapa, adalah penting untuk kita sentiasa memantau perkembangan pembelajaran anak-anak dan berhubung dengan pihak sekolah bagi mengetahui prestasi pembelajaran mereka.

Bina hubungan yang baik dengan pihak sekolah untuk mengetahui tentang tawaran-tawaran dari kerajaan negeri agar anak-anak kita mendapat yang terbaik dalam persekolahan mereka.

Jangan jadikan kemiskinan serta kekurangan hidup kita sebagai penghalang untuk anak-anak kita terus berjaya. Sebaliknya gunalah peluang yang disediakan Kerajaan untuk memacu pendidikan anak-anak kita.

Sudah ramai anak-anak dari kalangan yang kurang berkemampuan berjaya di peringkat yang lebih tinggi hasil usaha gigih dan kesungguhan untuk memajukan diri mereka sendiri.

Tiap kali bila keluar keputusan peperiksaan malah ketika majlis konvokesyen universiti, terpampang laporan di media cetak tentang kejayaan yang diukir oleh anak-anak dari keluarga yang kurang berkemampuan. Anak nelayan, petani malah ada juga anak buruh kasar.

Kejayaan itu sudah tentulah hasil usaha gigih mereka serta sokongan dan dorongan yang kuat daripada ibu bapa dan keluarga mereka sendiri. Doa daripada ibu dan bapa adalah azimat yang amat kuat untuk anak-anak.

Hadirin sekalian,

Untuk makluman, Yayasan Prihatin Rakyat Kedah yang ditubuhkan pada 21 Januari tahun lalu bertujuan untuk melaksanakan kerja-kerja amal kebajikan untuk membantu golongan miskin dan kurang berkemampuan di seluruh negeri ini.

Kerja amal ini termasuklah membela nasib anak yatim, ibu tunggal, warga emas serta golongan orang kurang upaya. Tidak ketinggalan bantuan kepada mereka yang dilanda bencana serta program meningkatkan kualiti hidup dan kemudahan asas keluarga, petani, penternak dan nelayan.

Selain itu, yayasan ini juga mengadakan program motivasi kepada ibu bapa bersama pendidik dalam memantau tahap pembelajaran anak mereka.

Walaupun Kerajaan negeri sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat serata-rata dalam pentadbiran kerajaan, tetapi dengan penubuhan badan berkanun seperti yayasan ini banyak membantu urusan kerajaan negeri dalam mencapai kehendak golongan sasar dengan lebih tepat dan cepat.

Anak-anak pelajar sekalian,

Saya mendoakan agar anak-anak yang terpilih di dalam program ‘My Happy Corner’ ini akan menggunakan sebaiknya kemudahan yang diberikan untuk belajar dengan bersungguh-sungguh.

Setiap kejayaan perlu dimulakan dengan usaha. Jangan jadi seperti Mat Jenin yang berangan-angan untuk jadi kaya ketika memanjat pokok kelapa, akhirnya jatuh ke tanah tanpa sebarang hasil.

Berdasarkan kisah, Mat Jenin adalah seorang anak muda yang bercita-cita untuk berjaya maka dia telah memanjat pokok kelapa untuk memetik buahnya untuk dijual. Niatnya itu betul, malangnya dia telah dibuai angan-angan atas hasil jualan yang belum lagi dia perolehi.

Begitu juga anak-anak sekalian, jangan pula bila ada ruang sudut belajar yang cantik nanti, kita sekadar duduk di meja dan berangan-angan untuk berjaya. Niat kita itu betul, tapi kita perlu lah berusaha dengan gigih untuk mencapai kejayaan itu.

Angan-angan sudah tentu tidak akan membawa kita ke mana-mana, jika kita tidak berusaha.Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: 'My Happy Corner' Program Bantu Pelajar Kurang Berkemampuan Di Kedah - Mukhriz Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top