Latest News

Tuesday, 10 November 2015

Mahu Tadbir Kedah Ikut Garispandu Maqasih Syariah - Mukhriz Mahathir




WACANA INDEKS SYARIAH MALAYSIA

UCAPAN PERASMIAN YAB. DATO’ SERI HAJI MUKHRIZ TUN MAHATHIR, MENTERI BESAR KEDAH DARUL AMAN

"WACANA EKSEKUTIF INDEKS SYARIAH MALAYSIA PERINGKAT NEGERI KEDAH 2015"


DI DEWAN SERI NEGERI, WISMA DARUL AMAN, ALOR SETAR, KEDAH

Firman Allah dalam surah Al-Hasyr ayat 18 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman!Bertaqwalah kepada Allah (mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari Akhirat. dan bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya akan segala yang kamu kerjakan”.

Alhamdulillah, saya memanjatkan setinggi-tinggi puji-pujian ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan 'inayah dan hidayah-Nya dapat kita berkumpul pada pagi yang berbahagia ii bersempena dengan "Wacana Eksekutif Indeks Syariah Malaysia 2015 Peringkat Negeri Kedah".

Saya berasa sukacita kerana dapat bertemu muka, berbicara dengan para hadirin yang terdiri daripada pelbagai peringkat dalam wacana yang penting dan bermanfaat ini. Semoga dengan ilmu yang akan disampaikan nanti dapat menjernihkan kekeliruan, menjelaskan kekaburan dan menzahirkan kebenaran.

Dengan kepakaran dan pengalaman luas yang dimiliki oleh para pembentang dalam wacana ini, saya amat mengharapkan pada akhir program ini nanti, kita akan dapat mencari kata sepakat, bicara muafakat dalam mewujudkan pelaksanaan prinsip-prinsip maqasid syariah dalam pentadbiran negara yang pelbagai kaum berdasarkan peruntukan undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan, bukan sahaja di peringkat persekutuan malah boleh dibudayakan di peringkat negeri.

Setinggi-tinggi Tahniah dan Syabas saya ucapkan kepada semua pihak khususnya Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Jabatan Agama Islam Negeri Kedah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang telah berkongsi sumber, kepakaran, fasiliti untuk menjayakan Wacana pada pagi ini. Semoga kerjasama strategik atau kini disebut sebagai Blue Ocean Strategy dapat diteruskan pada masa akan datang.

HALATUJU INDEKS SYARIAH MALAYSIA

Untuk makluman semua, Indeks Syariah Malaysia telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada 10 Februari 2015 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Sebagaimana yang disebutkan oleh YAB Perdana Menteri, indeks ini merupakan satu produk pelengkap tadbir urus Islam di Malaysia yang bersifat menyeluruh, komprehensif dan yang pertama di dunia.

Jika kita amati, fokus dan halatuju Indeks Syariah Malaysia ini sangat baik iaitu untuk menilai keseriusan Kerajaan dalam melaksanakan Maqasid Syariah serta mengenal pasti ruang-ruang pembaikan yang perlu diberi fokus oleh Kerajaan, agar lebih banyak manfaat hasil dari penerapan nilai-nilai sejagat dalam Islam dapat diterima oleh rakyat, tanpa mengira agama.

Rujukan utama Indeks Syariah Malaysia ini adalah berdasarkan dengan penyempurnaan lima (5) aspek dalam Maqasid Syariah, iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Dengan berdasarkan lima (5) aspek ini, ukuran dan penilaian akan dibuat bagi memastikan dasar-dasar dan program yang dibuat oleh Kerajaan selari atau tidak dengan apa yang terkandung dalam tuntutan Maqasid Syariah.

TADBIR URUS YANG BAIK BERTERASKAN MAQASID SYARIAH

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

Sejak kemerdekaan, Malaysia telah dilihat sebuah negara Islam contoh kerana berjaya mengurus negara berteraskan prinsip Islam. Bermula dengan memperkukuhkan asas kenegaraan dengan meletakkan batu asas yang kuat dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam sebagai Agama Persekutuan. Sejak dari itu, pelbagai usaha, pencapaian dan perancangan dibuat untuk memastikan pengamalan Islam dalam pentadbiran Negara dilaksanakan secara syumul.
Sejak 58 tahun itu juga pelbagai usaha dan strategi dibuat oleh Malaysia dalam mengamalkan nilai Islam dalam pentadbiran Negara sama ada dalam politik, undang-undang, ekonomi, pendidikan, sosial dan sebagainya. Maka sudah tiba masanya untuk kita mengukur secara saintifik usaha tersebut mengikut acuan kita sendiri iaitu berasaskan prinsip Maqasid Syariah.

Prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta adalah bertujuan untuk memberi kesejahteraan kepada manusia dalam hidup sama ada di dunia mahupun akhirat. Prinsip ini bukan sahaja prinsip asas umat Islam, malah sesuai dengan nilai sejagat merentas agama, bangsa dan kaum. Sesuai dengan firman Allah dalam surah Al-Anbiya’ ayat 107 yang bermaksud, “Dan Aku utuskan Engkau (Wahai Muhammad) sebagai pembawa rahmat seluruh alam”.

Apabila kita melihat dari tingkap sejarah, negeri Kedah antara negeri terawal di Tanah Melayu yang menerima Islam dan mengamalkan Islam dalam pemerintahan. Buku “Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah" ditulis oleh Muhammad Hassan dalam tahun 1928 mencatatkan Sultan Kedah, Sultan Muzaffar Syah telah memeluk Islam pada 1136 Masihi dan mengamalkan Islam dalam pemerintahan yang terletak di Kota Bukit Meriam. Bahkan perkataan “Darul Aman” tercatat dalam cop mohor Sultan Kedah Sultan Muhammad Jiwa pada tanggal 1748.

Islam dijadikan batu asas dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah. Fasal 33 A memperuntukkan agama Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai Agama Rasmi Negeri, dan asas-asas yang telah dibina sejak sekian lama ini, sudah pasti akan diteruskan dan ditambahbaik dari semasa ke semasa. Kerajaan Negeri, Inshaa-Allah, akan terus komited melaksanakan dasar-dasar dan program-program negeri berteraskan Maqasid Syariah.

Sejak mula saya dilantik sebagai Menteri Besar Kedah, saya telah perkenalkan slogan “Kedah Aman Makmur, Bersama Memacu Transformasi”. Slogan ini menterjemahkan harapan besar saya untuk menjadikan Negeri Kedah sebagai negeri contoh dalam melaksanakan transformasi dalam pentadbiran negeri mengikut garispandu Maqasid Syariah. Bahkan istilah transformasi yang bermaksud Islah, menjadi kayu ukur kepada kemahuan Kerajaan Negeri bagi memastikan negeri ini dilihat sebagai Negeri Urus Tadbir terbaik dalam negara.

Oleh itu, saya amat berharap agar prinsip-prinsip Maqasid Syariah dapat difahami oleh semua jentera Kerajaan Negeri dan sedaya upaya menerapkan prinsip ini dalam apa jua dasar dan program kerajaan.

Pendekatan seumpama ini selaras dengan tuntutan ajaran Islam yang amat menitik-beratkan aspek itqan (kesempurnaan) dan ketelusan dalam apa jua lapangan kehidupan termasuklah soal pengurusan pentadbiran dan kepimpinan.

Indeks Syariah Malaysia yang diperkenalkan ini akan dijadikan sebagai salah satu instrumen untuk mengetahui ruang-ruang muhasabah (koreksi) dan Islah (Penambaikkan) agar dasar-dasar negara dan negeri dapat disepadukan dan ditambahbaik demi maslahah dan kebaikan semua rakyat.

HARAPAN DAN SARANAN

Hadirin dan Hadirat yang saya muliakan,
Saya amat yakin dan percaya, kesungguhan kerajaan belum cukup untuk menjadikan hasrat Indeks Syariah Malaysia berjaya tanpa sokongan dan dokongan daripada semua pihak terutamanya para pemimpin organisasi, jabatan, daerah mahupun di peringkat kampung. Kita perlu sama-sama menyokong dan menjadi “agen penyampai maklumat” kepada rakyat.

Oleh itu, jika semua jentera kerajaan negeri ini boleh kita jadikan ‘ibarat hujan yang turun diserata tempat’, menurunkan maklumat kepada rakyat, Inshallah pelaksanaan Indeks Syariah Malaysia akan berjaya, malah menjadi contoh kepada Negara-negara Islam lain.

PENUTUP


Mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur yang telah memberi ruang dan peluang kepada saya menyampaikan ucapan pada pagi ini. Tahniah dan Syabas sekali lagi saya rakamkan kepada seluruh agensi Kerajaan Negeri Kedah dan JAKIM atas kerjasama yang telah diberikan.

Sebagai kalam akhir, saya ingin ungkapkan satu pesanan Hamka apabila bercakap soal toleransi agama: “Toleransi beragama, dasarnya adalah dakwah Islam. Suatu toleransi jika tidak disertai dengan dakwah akan menuju kehancuran. Kita harus berani mengikut Rasulullah SAW, sesungguhnya keberanian tidak wujud jika kita tidak mengerti agama kita sendiri”.

Semoga ungkapan ini menterjemah dan menyimpulkan maksud besar ucapan saya pada hari ini. Dengan lafaz Bismillahhir Rahmanir Rahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Wacana Eksekutif Indeks Syariah Malaysia Peringkat Negeri Kedah.

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh.






  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Mahu Tadbir Kedah Ikut Garispandu Maqasih Syariah - Mukhriz Mahathir Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top