Latest News

Friday, 13 November 2015

Kedah Sasar Luluskan 120 Permohonan Skim Pembiayaan Mikro Kredit Bernilai RM600,000




Sebanyak 120 permohonan pinjaman usahawan melalui Skim Pembiayaan Mikro Kredit Negeri Kedah bernilai RM600,000 dijangka diluluskan kerajaan negeri menjelang hujung tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata ketika ini, sebanyak 220 permohonan telah diterima, dengan 74 permohonan diluluskan membabitkan peruntukan berjumlah RM318,500.

Mengguna pakai skim pinjaman berdasarkan konsep Qardh al Hasan (pinjaman ihsan), peminjam hanya perlu membayar RM20 caj perkhidmatan sebulan untuk pinjaman tidak melebihi RM5,000.

Melalui skim pinjaman yang dilaksanakan Unit Pembangunan Usahawan Negeri Kedah (UPUK) itu, sebanyak RM1 juta setahun disediakan kerajaan negeri untuk kemudahan pinjaman tersebut.

Ia bertujuan penyediaan kemudahan kepada usahawan untuk memperoleh modal kerja, pembelian mesin dan peralatan, kata Suraya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Usaha Sama Program Mikro Kredit Negeri Kedah antara kerajaan negeri dan Bank Simpanan Nasional (BSN) serta Majlis Penyerahan Dana Usahawan melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) kepada UPUK di Wisma Darul Aman di sini Khamis.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut hadir.

Pada majlis itu, kerajaan negeri diwakili oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din; BSN diwakili oleh Naib Presiden merangkap Ketua Jabatan Strategi Korporatnya, Kameel Abdul Halim dan NCIA diwakili Naib Presiden Bahagian Pemasaran dan Perhubungan Pelabur, Syed Ahmad Safarudin Syed Zainal Abidin.

Dalam pada itu, Suraya berkata kerajaan persekutuan melalui Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) menyediakan peruntukan sebanyak RM8 juta untuk pelaksanaan beberapa program pembangunan usahawan di Kedah.

Dana tersebut, kata Suraya, akan disalurkan Agensi Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) kepada kerajaan negeri Kedah untuk melaksanakan program pembangunan usahawan.

Antaranya Dana untuk Skim Pembiayaan Mikro Kredit Negeri Kedah sebanyak RM4 juta, Dana Pemudah Cara (RM1 juta), dan Pusat Pemprosesan Industri Makanan di Alor Biak Jerlun sebanyak RM2 juta.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kedah Sasar Luluskan 120 Permohonan Skim Pembiayaan Mikro Kredit Bernilai RM600,000 Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top