Latest News

Tuesday, 3 November 2015

Kedah Mahu Tarik Lebih Banyak Pelaburan Dari Qingdao


Kerajaan negeri mahu melihat lebih banyak syarikat dari Qingdao, China mengikut jejak syarikat, Lu Hai Feng Ltd yang berpangkalan di wilayah itu, melabur di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata syarikat Lu Hai Feng Ltd akan melabur kira-kira RM3 bilion dalam projek Terminal Perikanan Bersepadu Kedah (KIFT) di Tebengau, Kuala Kedah.

"Kita berharap lebih banyak kolaborasi dan persefahaman dapat ditingkatkan dengan Qingdao untuk memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

"Perlu ada kerjasama untuk mempromosikan perdagangan dan pelaburan dengan Qingdao," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kedah-Qingdao di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kongres Rakyat Qingdao Wang Wenhua.

Sebagai antara pusat perdagangan terpenting di China, Mukhriz berkata Qingdao memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang teknologi tinggi dan kemampuan perdagangan yang boleh diambil peluang oleh Kedah.

Beliau berkata projek KIFT di Kuala Kedah itu merupakan antara pelaburan terbesar China di Malaysia.

Katanya syarikat Lu Hai Feng Ltd akan melabur RM1 bilion untuk membangunkan pelbagai kemudahan di KIFT, selain membelanjakan RM2 bilion lagi untuk membina 20 buah kapal menangkap ikan tuna.

Kos pembinaan setiap kapal dianggarkan bernilai RM100 juta dan akan beroperasi di Lautan Hindi, sebelum hasil tangkapan didaratkan di KIFT.

Menteri Besar itu juga berkata kerajaan negeri berminat untuk menjalin lebih banyak kerjasama dengan Qingdao seperti dalam bidang pelancongan dan telah membawa delegasi dari wilayah China itu melawat Langkawi.

Katanya beliau mahu melihat kerjasama antara kedua-dua pihak itu dapat dijalin untuk mempromosikan Langkawi di Qingdao dan menarik lebih ramai pelancong dari wilayah itu ke pulau peranginan tersebut.

Beliau turut berharap Kedah dan Qingdao dapat berkongsi kepakaran untuk menaik taraf kemudahan di Terminal Feri Langkawi bagi menampung peningkatan bilangan pelancong ke pulau peranginan itu.

"Kita berharap mungkin ada syarikat dari Qingdao yang dapat membantu kita dalam hal ini (menaik taraf terminal)," katanya.

Bercakap kepada media melalui jurubahasa, Wang berkata walaupun berada di negeri Kedah dalam tempoh yang singkat, beliau dapat melihat negeri ini telah diuruskan dengan baik.

"Kedah mempunyai pelan pembangunan ekonomi yang betul, selain memiliki infrastruktur yang baik. Kedah mempunyai potensi untuk berkembang dan kami mahu bekerjasama dan membuat pelaburan di negeri ini," katanya dan menambah pihaknya akan membantu usaha mempromosikan Langkawi di China.

Terdahulu, Mukhriz dan Wang menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Bandaraya Alor Setar dan Qingdao Municipal Government serta antara Invest Kedah dan Qingdao Bureau of Commerce.

Mereka turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Lu Hai Feng Ltd dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah bagi pembangunan projek KIFT.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kedah Mahu Tarik Lebih Banyak Pelaburan Dari Qingdao Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top