Latest News

Sunday, 8 November 2015

Debat 1MDB Berkemungkinan Dipolitikkan - Mukhriz


Perdebatan antara Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy dengan Tony Pua atau Rafizi Ramli tidak semestinya membantu menjernihkan keadaan, malah berkemungkinan ia akan dipolitikkan.

Ini kerana menurut Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, kedua-dua anggota Parlimen Petaling Jaya Utara dan anggota Parlimen Pandan itu dikenali amat cekap mempolitikkan sebarang isu.

"Saya tidak pasti kalau pendekatan debat ini boleh membantu lebih-lebih lagi kalau ia menjadi politik, sebab, mulanya Tony Pua kemudiannya Rafizi. Kita tahu dua ahli politik ini memang cekap dalam mempolitikkan isu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Badan Perhubungan UMNO Kedah hari ini.

Pembabitan Tony yang juga Pengerusi DAP Selangor dan Rafizi, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam perdebatan itu katanya, tidak menjamin isu IMDB itu tidak dipolitikkan.

Menurut Mukhriz, apa yang diperlukan ketika ini adalah pendekatan untuk menjelaskan isu berkenaan integriti IMDB tanpa 'dicemari' dengan isu-isu politik.

"Saya tidak yakin sama ada Tony (Pua) atau Rafizi (Ramli), debat itu tidak akan berunsur politik. Kalau hendak berdebat, mungkin selain dengan orang-orang politik saya ingat," kata beliau.

Mengenai penolakan PAS Kedah terhadap tawaran kerjasama daripada UMNO Kedah, Mukhriz berkata, pihaknya ikhlas untuk menjalin kerjasama di dalam bidang tertentu dengan parti pembangkang itu.

UMNO katanya, telah beberapa kali menghulur tangan persahabatan tetapi tidak disambut oleh PAS.

"Selagi niat kami ikhlas, kami terus berusaha. Jikalau dia (PAS) terima bagus, jikalau tidak diterima hendak buat macam mana," katanya.

Semalam, Pesuruhjaya PAS Kedah Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhurazi dalam kenyataan berkata parti itu bertegas dan konsisten untuk tidak menjalin sebarang hubungan atau kerjasama politik dengan UMNO.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Debat 1MDB Berkemungkinan Dipolitikkan - Mukhriz Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top