Latest News

Monday, 30 November 2015

Bandar Baharu Dulu Sepi, Kini Sarat Dengan Projek Pembangunan



BANDAR BAHARU (KEDAH), 29 Nov (Bernama) -- Bandar Baharu yang dahulunya sepi daripada pembangunan kini sarat dengan projek pembangunan bernilai hampir RM100 juta yang sedang dimajukan.

Ketua Penolong Pegawai Daerah Bandar Baharu, Mohd Hasbullah Abd Hadi berkata terdapat empat projek utama yang sedang dijalankan di beberapa lokasi termasuk projek tebatan banjir Sungai Kerian sejauh 40.8 kilometer bernilai RM60.25 juta dan dijangka siap awal 2016 ini.

"Bila siap projek ini kelak, ia akan memberi faedah kepada hampir 10,000 penduduk di daerah ini selain masalah banjir kilat di beberapa kawasan lembah akan dapat diatasi segera," katanya pada majlis Bengkel Pelan Strategi Bandar Baharu, di sini Ahad.

Pembangunan lain ialah projek Rimbunan Kasih iaitu pembinaan 100 unit rumah baharu khusus untuk golongan berpendapatan rendah di kawasan seluas 12 hektar serta Program Pertanian di Kampung Permatang Simpor bernilai RM23 juta.

Lebih 120 peserta menyertai bengkel sehari itu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), ketua-ketua jabatan dan pemimpin tempatan.

Beliau berkata pembinaan sebuah Kompleks Sukan Komuniti berharga RM5 juta di Pekan Serdang, kini sudah 30 peratus siap dan projek pembinaan lapan premis perniagaan berharga RM1.42 juta juga telah 30 peratus siap di Parit Nibong, dan dijangka siap April 2016.

Menurut Hasbullah, ketika ini kerja menyediakan dokumen untuk dikeluarkan tender membina restoran terapung berharga RM2 juta yang peruntukannya telah diluluskan di tebing Sungai Kerian, Pekan Bandar Baharu, sedang dilakukan.

Sementara itu Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) Datuk Abdul Rahim Man berkata pihaknya bersama Lembaga Pembangunan Wilayah Kedah (Keda) dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bercadang mewujudkan Agro Business Park dan Halal Hub di tanah seluas 10 hektar milik Keda di Bagan Samak.

"Konsep Halal Hub yang dicadangkan itu adalah sama seperti yang telah diwujudkan di Sungai Petani dan produknya khusus untuk diimport ke Korea dan Jepun," katanya.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Bandar Baharu Dulu Sepi, Kini Sarat Dengan Projek Pembangunan Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top