Latest News

Saturday, 29 August 2015

TM Perluas Khidmat Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi Di Kedah



Telekom Malaysia Berhad (TM) bakal memperluaskan lagi perkhidmatan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) di negeri Kedah, menurut Pengurus Besar TM Kedah/Perlis, Noor Lela Baba.

Katanya, perkhidmatan UniFi yang ditawarkan TM kini digunakan lebih 777,000 pelanggan di seluruh negara dan terdapat di 105 kawasan meliputi lebih 1.66 juta premis di seluruh negara.

Ia termasuklah kawasan ekonomi dan industri seperti Lembah Klang, Koridor Raya Multimedia (MSC), Kulim Hitech-Park dan Iskandar Malaysia.

"Di Kedah, selain Kulim, perkhidmatan UniFi turut dinikmati di kawasan Taman Ria dan Bakar Arang, Sungai Petani, serta di Langkawi, yang mana kedua-duanya merupakan kawasan perumahan dan perindustrian.

"UniFi di Kedah mempunyai lebih 11,600 pelanggan, dan TM merancang memperluas kawasan liputan, termasuklah ke Alor Setar, menerusi projek HSBB 2 yang akan dilaksana dalam tempoh terdekat," katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Perkhidmatan dengan OSK Properties Sdn Bhd (OSK Property) di sini, Isnin.

Noor Lela berkata, perjanjian itu membolehkan penduduk fasa baharu perumahan Bandar Puteri Jaya dan Yarra Park, di sini, mendapat perkhidmatan UniFi.

Perkhidmatan itu terdiri daripada Internet berkelajuan tinggi sehingga 20Mbps, telefon dan Televisyen Protokol Internet (IPTV) TM - HyppTV.

Bandar Puteri Jaya dan Yarra Park terdiri daripada 2,498 unit rumah dua tingkat berkembar, rumah setingkat berkembar), rumah berangkai, teres dan banglo.

"Kami memahami keperluan infrastruktur telekomunikasi terkini dan Internet berkelajuan tinggi, justeru perjanjian antara TM dan OSK Property tepat pada masanya memandangkan permintaan pembeli turut meningkat," katanya.

Majlis menandatangani perjanjian berkenaan dihadiri Noor Lela dan Pengurus Besar (Perniagaan Perusahaan - Perusahaan Kecil) TM, Azman Yusof selaku wakil TM, manakala OSK Property diwakili Ketua Bahagian Cawangannya, Ir Paul Tan dan Penolong Pengurus Besar (Pengurusan Projek), Lim Soo Peng.

Paul Tan berkata, OSK Property kini memasuki fasa baharu pembangunannya dan perkhidmatan UniFi akan memberi nilai tambah kepada hartanah di kedua-dua lokasi.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: TM Perluas Khidmat Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi Di Kedah Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top