Latest News

Friday, 28 August 2015

Kedah Sedia Bekal Bahan Binaan Bantu Mangsa Bencana Alam


Kerajaan negeri Kedah akan menyediakan bekalan bahan binaan di daerah-daerah yang sering dilanda bencana alam, bagi membantu mangsa membaik pulih kediaman mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, beliau sudah pun mengeluarkan arahan berkaitan perkara itu dan persiapan juga sedang dilaksanakan.

Beliau berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat sentiasa membuat persedian dari segi bahan makanan dan yang terbaru ialah keperluan bahan binaan untuk mangsa bencana alam.

"Biasanya ribut, yang selalu kena, yang rosak ialah bumbung, jadi bahan binaan bumbung itu yang kita sediakan bagi daerah-daerah yang kerap berlaku kejadian seperti ini," katanya kepada media selepas menyampaikan bantuan awal kepada mangsa-mangsa ribut di Flat Paya Nahu, di sini, hari ini.

Mukhriz berkata, beliau mengalu-alukan dan menggalakkan sekiranya ada pihak swasta yang sudi tampil memberi sumbangan untuk meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa ribut ini.

"Ada pihak swasta, terutamanya pengilang-pengilang yang mengeluarkan bahan-bahan binaan, dengan sukarela tampil ke hadapan untuk menyumbang bahan-bahan ini, ada secara percuma dan ada pada harga yang sangat-sangat murah kerana mereka juga tahu ini adalah sumbangan CSR (tanggungjawab sosial korporat) mereka kepada mangsa bencana," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kebajikan mangsa ribut di kawasan perumahan Paya Nahu, Mukhriz berkata, kerajaan negeri memberikan bantuan awal seperti keperluan makanan dan selimut yang menjadi keutamaan mangsa-mangsa di situ.

"Selepas itu, kerja-kerja pembaikan. Kita sedang lihat apa yang diperlukan sebab ada yang tingkap pecah, bumbung dibawa ribut dan sebagainya, ini akan kita usahakan juga pada kadar segera kerana kita tidak mahu penduduk-penduduk ini terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara ini terlalu lama," katanya.

Mukhriz berkata, masa yang diperlukan untuk membaik pulih kediaman yang rosak akibat ribut yang berlaku petang semalam, dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu.

Semalam, beberapa kawasan di daerah Kuala Muda rosak teruk akibat ribut, melibatkan 275 orang mangsa dan 71 buah rumah.

Flat Paya Nahu merupakan kawasan paling teruk terjejas, dengan jumlah 22 buah rumah melibatkan 84 mangsa.


bernama 
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kedah Sedia Bekal Bahan Binaan Bantu Mangsa Bencana Alam Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top