Latest News

Friday, 28 August 2015

2 Dari 6 Projek Ikonik Kedah Bermula Awal Tahun Hadapan




Dua daripada enam projek ikonik Kedah, 'Rubber City' di Padang Terap dan Taman Teknologi dan Sains Kedah (KSTP) di Bukit Kayu Hitam akan mula dilaksanakan awal tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Perdagangan Dalam Negeri Kedah Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, Kementerian Kewangan telah memaklumkan peruntukan awal projek ekonomi berkenaan.

"Bagi projek 'Rubber City' di Padang Terap, Kementerian Kewangan akan memperuntukkan RM400 juta bagi usaha pengambilalihan tanah dan kerja-kerja pembangunan infrastruktur," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata projek itu akan dijalankan di Ladang Bukit Ketapang memandangkan kawasan Durian Burung tidak sesuai kerana keadaan tanah berbukit-bukau.

Projek KSTP juga akan dilaksanakan awal tahun depan selepas Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan kira-kira RM40 juta bagi kerja-kerja pembangunan infrastruktur.



Ku Abdul Rahman berkata KSTP yang dibina di atas tanah seluas kira-kira 800 hektar milik Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) akan menumpu industri berasaskan agro teknologi, teknoogi maklumat serta komunikasi.

Katanya, syarikat perunding PriceWaterhouseCoopers (PWC) telah menyiapkan laporan mengenai industri yang boleh ditarik ke KSTP.

Usaha mempromosi taman teknologi tinggi terbaru itu kepada pelabur dalam dan luar negara boleh dimulakan awal tahun depan, katanya.

Beliau berkata, walaupun pelaksanaan kedua-dua projek ikonik Kedah itu tidak dimaklumkan ketika pembentangan Rancangan Malaysia Kesebelas sebelum ini, tidak bermakna ia telah ditolak.

Selain 'Rubber City' dan KSTP, projek ikonik Kedah yang lain adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), Banda Raya Aero Kedah (Kedah Aerocity), Lebuhraya Sungai Petani-Kedah Inner Expressway (SPIKE) dan Bandar Raya Sains Perubatan Kedah.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: 2 Dari 6 Projek Ikonik Kedah Bermula Awal Tahun Hadapan Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top