Latest News

Friday, 29 May 2015

Sentuhan Kasih Sayang-Nya



Oleh DR. NURA’THIROH MASYAA’IL TAN AI PAO

Ujian adalah tarbiah Allah dan medan menambah iman, takwa

APAKAH manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja dengan mengatakan: Kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. (al-Ankabut: 2-3)


Realiti kehidupan tanda kasih cinta Allah SWT kepada hamba-Nya, ujian sebagai medan menambah keimanan dan ketakwaan kepada-Nya. Hanya hamba yang miliki ilmu dan pandangan mata hati mampu menembusi ujian-Nya.

Begitulah kehidupan, kesenangan yang datang tidak akan selamanya menapak dalam diri yang mendambakannya. Selepas kesusahan, Allah SWT menjanjikan kesenangan kepada hamba-Nya. Ibarat selepas waktu malam datangnya siang. Apabila insan di jalan kesenangan, jangan lupa akan daratan yang dipinjamkan-Nya.

Ujian adalah tarbiah daripada Allah SWT apakah kita mampu bersabar atau sebaliknya. Penderitaan atas ujian tidak berpanjangan, bersangka baik dengan Allah SWT kelak tiada istilah putus asa di atas nikmat-Nya.

Kabus ujian tidak akan berpanjangan dan apabila ia beredar pasti cerah mentari menyinar kehidupan buat hamba-Nya. Kesenangan selepas kesukaran ujian-Nya adalah nikmat Allah SWT yang paling tinggi dan agung, hikmah Allah SWT tersingkap bersama kesabaran dan ketabahan dalam menongkah arus mehnah dunia yang sementara.

Dalam senario ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya unik keadaan seseorang mukmin, semua urusannya adalah baik. Apabila ia mendapat nikmat, ia bersyukur dan itu adalah kebaikan baginya, apabila mendapat musibah ia bersabar dan itu adalah kebaikan pula baginya. Semua itu hanya dimiliki oleh mereka yang beriman. (Muslim, no. 2999 dan Ahmad, no. 18455, 18460)

Janji Allah

Ibnu al-Qayyim berkata: “Wahai orang yang mempunyai tekad yang lemah, sesungguhnya jalan itu sangat sulit dan panjang. Nuh as berdukacita dan menangis, Nabi Zakaria as, Nabi Yahya as dibunuh, Umar ra, Uthman ra ditusuk dan bergelumang darahnya, Ali ra dibunuh dan para imam dan ulama disebat, seterusnya dipenjarakan.”

Oleh itu, sebagai hamba Allah SWT, perjuangan dalam ujian perlu diteruskan, kerana janji Allah akan kemenangan itu pasti, berjuang menempuh susah dalam menanggung derita dunia dalam masa sama menongkah fitnah dunia.

Semua ini merupakan gelombang hidup samudera duka yang sementara. Apabila dihina, dibuang, difitnah, diumpat dan disisih maka berkelanalah insan dengan keimanan dan ketakwaan kepada-Nya.

Malam hari bagi hamba dalam ujian Allah SWT adalah seorang rahib yang bangun untuk merintih sayu kepada-Nya, memuhasabah diri mengenang dosa-dosa, bermunajat dengan titisan air mata keinsafan pohon maghfirah dan petunjuk-Nya.

Hakikatnya perjuangan tidak pernah lekang daripada ujian Allah SWT. Ombak derita tiada bertepian, ketenangan dan kekusutan silih berganti. Ini kerana berjuang dalam ujian Allah SWT bererti terkorban, rela dihina kerana kebenaran. Inilah sunah bagi hamba yang berjuang di medan agama. Jiwa hamba tetap tekad menuju cita dan cinta membara demi mendamba reda Allah SWT dan kasih Rasulullah SAW.

Jelaslah bahawa ujian adalah medan pembersihan dan penyucian diri dan jiwa daripada segala dosa dan kesilapan lampau. Penyucian hati yang hakiki, pembersihan jiwa yang mengagungkan populariti, kedudukan, sombong diri, riak dan segala sifat mazmumah yang menapak dalam diri insan sehingga ilmu yang dimiliki tidak dapat diamalkan dalam kehidupan.

Abu Laits berkata dalam kitab karangannya Tanbihul Ghaafiliin, “Seorang tidak akan dapat mencapai tingkat orang baik, kecuali dengan kesabaran di atas penderitaan, kesukaran dan gangguan. Allah SWT menyuruh Rasulullah SAW bersabar dengan kesabaran sebagaimana kesabaran yang dimiliki oleh para Rasul yang bersemangat besar.”

Cari hikmah di sebalik musibah

SESUNGGUHNYA setiap ujian Allah SWT pasti tersirat hikmahnya yang tidak tersingkap oleh mata kasar hamba-Nya. Semakin Allah SWT sayang kepada seseorang hamba maka semakin kuat ujian-Nya ditimpa ke atasnya. Ujian-Nya hanya pada kadar kemampuan hamba-Nya untuk menghadapinya, kerana Allah SWT tidak pernah zalim ke atas hamba-Nya.

Kembali berpegang kukuh kepada tali Allah SWT dalam mencari hikmah di setiap musibah yang menimpa kerana kadang kala hikmah itu terhijab kerana hikmah itu dibaluti dengan selimut putus asa. Hikmah sebalik ujian Allah SWT tersingkap pada hamba-Nya yang benar-benar pasrah terhadap percaturan takdir Allah SWT yang pada masa yang sama ia berusaha dan terus berjuang mencari pengajaran serta kekuatan dan pengajaran di sebalik takdir itu.

Kehebatan Allah SWT, Dia hilangkan matahari dalam sekejap masa, bumi jadi gelap dan muram. Kemudian Allah SWT hadirkan dentuman guruh, panahan kilat, membuatkan hamba-Nya dalam kegusaran dan kegelisahan. Setelah hamba-Nya puas menangis mencari mengharap sinar mentari, rupanya Allah SWT telah berjanji untuk menghadiahkan pelangi kehidupan yang lebih indah dan ceria.

Hakikatnya, bagi yang bersabar, reda dan tabah menongkah arus ujian-Nya, pasti Allah SWT sempurnakan kesabaran, keredaan dan ketabahannya lalu memasukkannya ke dalam syurga-Nya. Ujian Allah SWT adalah sentuhan kasih sayang daripada-Nya kepada hamba pilihan-Nya agar hamba sentiasa mengingati dan mendekati-Nya di setiap masa dan keadaan.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Sentuhan Kasih Sayang-Nya Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top