Latest News

Thursday, 7 May 2015

Rakyat Kedah Diseru Membudayakan Perpaduan - DSMM


Menteri Besar Dato' Seri Haji Mukhriz Tun Dr Mahathir menyeru seluruh rakyat Kedah untuk terus mengekalkan konsep membudayakan perpaduan.

Keunikan negeri Kedah adalah kerana kemajmukannya,kontrak sosial, latar belakang sejarah dan Perlembagaan Negara perlu menjadi kerangka perpaduan dalam membina masyarakat yang hebat dan mampu memacu transformasi negeri ini.

Menurut Dato Seri Mukhriz, dalam menghadapi cabaran global, usaha untuk melaksanakan ketiga-tiga prinsip tersebut dalam menghasilkan kestabilan politik, kemantapan ekonomi dan pembangunan modal insan, seharusnya dijadikan agenda transformasi utama dan indikator kepada dimensi sebuah negeri maju yang seimbang. Katanya di Majlis perasmian Sambutan Minggu Perpaduan 2015 Peringkat Negeri Kedah.

Sesungguhnya kesejahteraan itu menuntut integrasi, keikhlasan dan komitmen semua pihak dalam memastikan semangat perpaduan dan kesefahaman terus segar. Bahkan ia dibina di atas landasan kesederhanaan, kesantunan dan kesatuan dengan satu matlamat ke arah kemajuan dan pembangunan seimbang.

Unity in Diversity (perpaduan dalam kepelbagaian) iaitu salah satu Prinsip Perpaduan yang menekankan konsep penerimaan. Fitrah alam dicipta dalam pelbagai bentuk dan ragam. Namun dalam menjamin kelestarian dan keharmonian hidup pelbagai usaha-usaha perlu dilakukan oleh pelbagai pihak untuk memastikan perpaduan itu dapat dikekalkan.

‘Bersatu teguh, bercerai roboh’ – begitulah pepatah yang sinonim dengan perpaduan. Konsep taaruf dalam kemajmukan iaitu sentiasa mengikis prasangka dan salah faham serta saling menerima mampu mencerna masyarakat yang bersatu padu. Di samping itu, rakyat mestilah berusaha mencari persamaan dan mengecilkan perbezaan.

Sekiranya sensitiviti itu berjaya diurus dengan pertimbangan toleransi, persefahaman dan penerimaan sepenuhnya, maka ia mampu memperkukuhkan perpaduan sedia ada sehingga mampu digembleng menjadi kekuatan dan nadi kepada transformasi sebuah negara.

Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan merupakan punca kuasa dan rujukan terpenting dalam usaha menjamin hak-hak kepelbagaian tersebut. Selain itu, kestabilan politik dalam urus tadbir negara turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh kuasa tenaga penyatuan berteraskan persefahaman, kerjasama, perundingan dan persetujuan.

Pendekatan eksklusif dan inklusif yang dijadikan mekanisme dalam meraikan kepelbagaian, telah berjaya menghasilkan suasana perpaduan, saling menghormati dan bertoleransi yang menghiasi kehidupan bermasyarakat seterusnya menjadi nadi kepada perubahan yang lebih baik.

Natijahnya, kesejahteraan hidup terpelihara, semangat patriotisme rakyat meningkat serta imej keselamatan dan keamanan negara dapat diperkasakan.

Marilah kita renungi peristiwa peletakan ‘Hajarul Aswad’ sebagai bukti bahawa Islam membawa mesej keadilan yang menjamin kesejahteraan hidup. Pelaksanaannya juga merangkumi segenap aspek kehidupan yang meliputi ekonomi, politik, sosial dan pelbagai lagi serta merentasi segenap lapisan masyarakat tanpa diskriminasi.

Di samping itu, kebertanggungjawaban, penzahiran dan ketelusan serta imbangan merupakan asas nilai dan etikanya. Dalam hal ini, komitmen individu dan pemerintah sangat penting sebagai penentu kejayaan dalam usaha merealisasikan misi tersebut.

Sesungguhnya masyarakat yang mengerti mahalnya harga perpaduan tidak akan membuat tuntutan yang melampau sehingga mencetuskan riak-riak permusuhan. Sebaliknya, masyarakat yang cintakan perpaduan dan keamanan adalah masyarakat yang akan meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan kelompok dan kepartian.

Natijahnya, nilai integriti jadi budaya, kejayaan yang dikecapi dapat dinikmati secara bersama dan kemakmuran dapat dikongsi dengan lebih meluas.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Rakyat Kedah Diseru Membudayakan Perpaduan - DSMM Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top