Latest News

Tuesday, 12 May 2015

KPDNKK Kedah keluar 36 notis sejak GST dilaksanakan




Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah telah mengeluarkan 36 notis kesalahan menjual barangan pada harga tidak munasabah sejak Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) dilaksanakan 1 April lepas, kata Pengarahnya Mohamad Fitri Hassan.

"Sebanyak 18,666 premis di sekitar Kedah telah diperiksa bermula 1 April hingga 10 Mei dan 36 notis telah dikeluarkan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini Selasa.

Beliau juga berkata sebanyak 44 kes telah direkodkan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Kesemua 44 kes tersebut melibatkan sejumlah RM5,400 kompaun yang dikenakan kepada peniaga yang melakukan kesalahan dan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM2,701, katanya.

Pihaknya kata beliau, turut menerima sebanyak 452 aduan daripada orang ramai tetapi tiada kes yang melibatkan tindakan mahkamah dikenakan.

"Kita banyak menerima aduan melalui sistem e-Aduan dengan 294 aduan manakala aduan melalui panggilan telefon pula adalah sebanyak 113 aduan, manakala mereka yang datang sendiri membuat aduan adalah sebanyak 45 aduan," katanya.

Mohamad Fitri berkata pihaknya akan menjalankan pemantauan secara berterusan bagi mengelakkan pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan mengenakan harga yang tidak berpatutkan.



-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: KPDNKK Kedah keluar 36 notis sejak GST dilaksanakan Rating: 5 Reviewed By: medan tempur
Scroll to Top