Latest News

Sunday, 31 May 2015

Jam Tangan Agong Dibida Sempena Karnival Amal Hari Penyayang



Seorang ahli perniagaan berjaya membida koleksi jam tangan peribadi milik Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada acara lelongan amal barangan peribadi baginda di sini hari ini.

Pengarah Urusan Epic Valley Holding Sdn Bhd, Tan Sri Dr Fng Ah Seng berjaya membuat pembelian itu di Karnival Amal Hari Penyayang 2015 anjuran Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) di perkarangan Stadium Darul Aman.

Wang dari pembelian itu didermakan terus ke tabung yayasan berkenaan bagi membiayai projek tuisyen percuma Titian Bistari oleh YSB untuk murid-murid miskin yang berumur 10 hingga 12 tahun.

Tumpuan tuisyen ialah dalam subjek Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains.

Dr Fng berkata ini merupakan kali ke-17 beliau melibatkan diri dalam Karnival Amal Hari Penyayang dengan niat untuk membantu golongan memerlukan.

"Saya akan simpan jam ini sebagai koleksi peribadi saya kerana bukan senang untuk mendapatkannya manakala barangan lain seperti lukisan bertajuk 'Sejambak Bunga' yang berharga RM8,000 akan saya sumbangkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Pada tahun ini saya telah membeli ais kepal dengan harga RM20,000 berbanding RM80,000 pada tahun lepas. Jumlah keseluruhun yang telah saya sumbangkan untuk tabung yayasan pada tahun ini berjumlah RM160,000 dimana jumlah barangan bidaan bernilai RM90,000, ais kepal RM20,000 dan sumbangan cek bernilai RM50,000," katanya kepada pemberita.

Anak jati Sungai Petani, Kedah ini berkata beliau menyokong usaha kebajikan yayasan itu yang dinaungi Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, lelongan amal tersebut yang dikendalikan Ahli Lembaga Amanah YSB, Datuk Nasir Mustafa bersama anggota kumpulan Senario, Lan Pet Pet berjaya mengumpul dana berjumlah RM377,000 hasil lelongan 20 barangan termasuk potret Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri.

-- BERNAMA

  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Jam Tangan Agong Dibida Sempena Karnival Amal Hari Penyayang Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top