Latest News

Saturday, 11 April 2015

Mada Mahu Petani Patuhi Jadual Penanaman Padi


Para petani diminta supaya mematuhi jadual penanaman padi yang ditetapkan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) bagi mengelak lembaga itu mengalami kerugian jutaan ringgit.

Pengurus Besarnya Md Zuki Ismail berkata ia juga bagi membolehkan Mada mengumpul purata hasil padi sebanyak tujuh tan sehektar di Kedah/Perlis.

"Pada musim lepas, Mada menanggung kerugian berjuta ringgit akibat kegagalan petani mengikut jadual," katanya kepada pemberita semasa Program Jom Turun Bendang 2015 yang dirasmikan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Paduka Md Rozai Shafian di sini hari ini.

Beliau berkata bagi memastikan jadual penanaman padi bagi musim 1/2015 berjalan lancar, Mada telah membekalkan air kepada peladang melalui tiga fasa dengan fasa pertama bermula 5 April lepas.

Fasa kedua akan bermula 12 April dan fasa ketiga bermula 26 April, katanya dan menambah petani perlu mengikut tarikh tersebut untuk memastikan padi dapat dituai pada akhir Julai dan pertengahan Ogos.

Md Zuki berkata Mada bimbang sekiranya jadual tidak dipatuhi, padi yang dituai selepas tempoh tersebut mungkin padi akan dituai semasa musim hujan dan mengalami kerosakan disebabkan penyakit.

Serangan penyakit boleh mengakibatkan kerugian jutaan ringgit, katanya.

"Pada musim lepas, kita dapati 44 peratus petani gagal mematuhi jadual sehingga menyebabkan jumlah punggutan padi berkurangan," tambahnya.

Beliau berkata air dari empangan Pedu, Muda dan Ahning yang berada pada 86 peratus adalah mencukupi untuk disalurkan kepada 100,000 hektar kawasan sawah padi di bawah pengurusan Mada.

Sementara itu Md Rozai yang juga Ketua Umno Pendang berharap petani Mada dapat mematuhi jadual yang telah dikeluarkan bagi mengelak berlaku pembaziran.

Beliau berkata petani tidak boleh lagi bersikap sambil lewa untuk memastikan mereka mampu mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebanyak tujuh tan padi sehektar.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Mada Mahu Petani Patuhi Jadual Penanaman Padi Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top